SHAHRUL Terkejut selepas diberitahu apa yang dilihatnya itu adalah acara kenduri di kampung bunian. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Terkejut nampak kenduri di kampung bunian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH misteri atau menyeramkan yang berlaku kepada seseorang individu sukar untuk dirungkaikan kewujudannya seolah-olah bermimpi ketika melaluinya.

Itulah yang terjadi kepada seorang lelaki yang ternampak acara kenduri di awal pagi di sebuah kampung kecil rupa-rupanya berlaku di tempat tinggal orang bunian sewaktu dalam perjalanan ke rumah kakak iparnya.

Ini kerana, jalan sepanjang 15 km sebelum tiba di kampung kakak iparnya tidak ada sebarang kampung, selain ladang kelapa sawit dan belukar. Sejak itu, dia tidak lagi berani melalui jalan tersebut pada waktu tengah malam atau awal pagi.
—————————————————————————————————————————————————————————————————–
KISAH-kisah misteri sememangnya sukar untuk dirungkaikan kewujudannya, melainkan jika kejadian itu berlaku terhadap diri sendiri.

Begitulah tanggapan awal Shahrul, 30-an, (bukan nama sebenar) tentang kejadian mistik yang didengarinya sebelum ini kerana dia berasakan lebih kepada sekadar cerita rekaan.

Namun, tanggapan itu berubah setelah dia sendiri mengalami pengalaman mistik sewaktu berkunjung ke rumah kakak iparnya di Benut, Pontian, Johor suatu ketika dahulu.

Cerita Shahrul, kisah itu berlaku 10 tahun lalu ketika dia dan abangnya dalam perjalanan ke rumah keluarga kakak iparnya itu.
Ketika itu, kakak iparnya berpantang di kampung selepas melahirkan anak sulung dan abangnya meminta dia menemaninya ke sana.

“Apabila abang mengajak menemaninya untuk ke rumah mertuanya itu, saya terus bersetuju.

“Tambahan pula ketika itu, musim buah-buahan. Di belakang rumah mertuanya itu banyak pokok durian, manggis dan langsat yang berbuah lebat membuatkan saya teruja untuk ke sana,” katanya.

Ujarnya, pada malam kejadian, mereka bertolak dari rumah sewa abangnya di Shah Alam kira-kira pukul 9 malam.

Katanya, disebabkan tidak mahu membuang masa, mereka mengambil keputusan untuk singgah makan malam di hentian rehat dan rawat di lebuh raya
sahaja.

Biasaanya, perjalanan dari Shah Alam ke Benut yang mempunyai jarak kira-kira 300 kilometer itu mengambil masa empat jam.

Namun, disebabkan hujan lebat di sebahagian laluan lebuh raya, perjalanan mereka memakan masa lima jam dan hanya tiba di pekan Benut kira-kira pukul 2 pagi.

“Dari pekan Benut, kami perlu memasuki satu simpang dan melalui satu lorong berturap yang agak sunyi sebelum tiba di kampung keluarga mertua abang saya.

“Dalam perjalanan sejauh kira-kira 15 kilometer itu, pemandangan di kiri dan kanan hanya dihiasi ladang kelapa sawit dan diselang-seli dengan hutan belukar.

“Ketika itu tiada sebuah kenderaan pun yang berselisih dengan kami dan kira-kira setengah perjalanan, barulah saya dapat melihat sebuah kampung kecil yang hanya terdapat beberapa buah rumah sahaja.

“Saya dapat melihat sekumpulan penduduk sedang sibuk, seolah-olah menguruskan sebuah majlis kenduri kerana adanya sebuah khemah yang cantik dengan makanan yang sedang dimasak di sisinya,” katanya.

Menganggap apa yang dilihatnya itu sebagai perkara biasa, dia hanya mendiamkan diri sambil menikmati alunan muzik yang berkumandang dari radio kereta.

SEPANJANG 15 km jalan menuju rumah keluarga bapa mertua abang Shahrul di Benut hanya ‘dihiasi’ ladang kelapa sawit dan belukar.

Jelas Shahrul, sebaik tiba di rumah keluarga mertua abangnya itu, dia terus mengangkat beg pakaian dan masuk ke dalam rumah sebelum duduk di meja makan bagi menghirup kopi panas yang telah terhidang.

“Ketika itu, saya berbual-bual dengan kakak ipar dan keluarga mertua abang saya yang turut berada di meja makan tersebut.

“Sewaktu saya membuka cerita dan bertanyakan tentang kenduri yang sedang diadakan di sebuah kampung kecil tersebut, semua mereka terdiam seketika.

“Malah, bapa mertua abang saya yang senang disapa Pak Mail berkali-kali bertanya sama ada apa yang saya lihat itu benar-benar ada, selain ingin mengetahui bagaimana keadaannya.

“Saya yang tidak mengesyaki apa-apa, bercerita apa yang dilihat khususnya pakaian serba putih yang dipakai kesemua penduduk kampung itu,” ujarnya.

Selepas mendengar cerita sebenar dari Pak Mail, saya amat terkejut kerana diberitahu apa yang dilihat sebelum itu berkemungkinan perkampungan orang bunian.

Ini kerana jelasnya, sepanjang 15 km sebelum tiba di kampung itu, tidak ada sebarang kampung, selain ladang kelapa sawit dan belukar.

Jelas Pak Mail lagi, sebelum ini penduduk di kampungnya itu pernah beberapa kali terserempak dengan perkampungan ghaib tersebut yang dikaitkan dengan milik orang bunian kerana ia tidak akan kelihatan pada waktu siang.

Namun katanya, situasi ketika ditemui itu agak berbeza-beza kerana ada penduduk yang melihat perkampungan itu sedang mengadakan majlis kenduri, dan ada juga yang diperlihatkan seperti sebuah perkampungan biasa.

Malah kata pak Mail, ada juga yang pernah menemui beberapa peralatan memasak di kawasan pinggir hutan belukar di situ yang dipercayai milik orang Bunian.

“Mendengar cerita tersebut, saya mula berasa seram sejuk, malah abang saya juga hanya terdiam membisu,” ujarnya.

Sejak itu kata Shahrul, abangnya hanya akan pulang ke kampung keluarga isterinya itu pada waktu siang dan jika terpaksa bergerak pada waktu malam, dia akan cuba sampai di sana sebelum pukul 12 malam.

Ia bagi mengelak terserempak dengan perkampungan bunian itu yang dianggapnya satu perkara mistik dan menyeramkan.
—————————————————————————————————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN