PETALING JAYA – Datuk Dr. Puad Zarkashi sedia membeli lukisan Parlimen beruk dan katak jika Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu melelongnya satu hari nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, dia tidak akan menjual lukisan unik itu malah akan menghadiahkannya kepada Muzium Negara bagi tatapan orang ramai.
“Saya sedia membeli lukisan Parlimen beruk dan katak jika Sultan Selangor satu hari nanti, mahu melelongnya.
“Jika lukisan itu milik saya, ia tidak akan dijual lagi. Saya akan hadiahkan kepada Muzium Negara untuk dipamerkan kepada orang awam,” tulisnya di Facebook hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, sebuah lukisan unik berunsurkan metafora di dalam Dewan Rakyat menarik perhatian dan dibeli Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Berdasarkan lukisan itu, seolah-olah menggambarkan kelakuan ahli parlimen dalam maksud tersendiri semasa berada di dewan perundangan kerajaan itu. – KOSMO! ONLINE
















