PETALING JAYA – Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh iaitu M.Mukuntan, 33 S.Mahadevan, 40, A.Chandramani, 36 dan S.Tharma, 30, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dihadaoan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Pengakuan tidak direkodkan daripada kesemua kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh M.Danesh, 30, di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pukul 5.27 pagi pada 3 April lalu (2022).
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan terhadap keempat-empat tertuduh dan mahkamah menetapkan 20 Julai ini sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.
Susulan kejadian itu, pihak polis menahan empat lelaki dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
















