HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya di Jalan Batang Kali-Ulu Yam, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan membabitkan remaja berusia 17 tahun tersebut berlaku kira-kira pukul 11.45 malam.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai dalam perjalanan dari Ligamas menuju ke pasar raya sekitar Batang Kali.
“Remaja berkenaan disyaki telah terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta untuk menyalurkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987- KOSMO! ONLINE.














