fbpx
Kaka Azraff reda menerima ketentuan takdir apabila perkahwinannya dengan bekas suami, Adam Azriff berakhir dengan talak dua.

‘Sebulan lagi habis idah’ – Kaka sah bercerai talak dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi Kaka Azraff reda menerima ketentuan takdir apabila perkahwinannya dengan bekas suami, Adam Azriff berakhir dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor, semalam.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraft, 36, berkata, keputusan tersebut dibuat mengikut pertimbangan, bukan emosi selepas usaha memperbaiki perhubungan tidak menampakkan sebarang perubahan.

“Ya, semalam saya hadir ke mahkamah bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz taklik. Saya dan Adam kini bercerai talak dua.

“Hal rumah tangga apatah lagi cerai soal cerai bukan sesuatu yang saya mahu kongsikan dengan orang luar, tetapi apabila media dapat hidu, saya perlu berterus terang.

“Saya reda jodoh kami setakat ini sahaja. Sekuat mana pun usaha kita (pertahankan), kalau takdirnya sampai di sini kita reda sahaja, hidup perlu diteruskan demi anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya punca perpisahan selepas lebih setahun rujuk, ibu kepada tiga anak itu lebih selesa tidak mendedahkan hal dalaman rumah tangga.

“Biarlah punca tidak saya dedahkan malah saya juga tidak menganggap perceraian kali kedua ini sebagai kegagalan. Ini juga pengalaman yang mematangkan diri saya sebagai wanita serta ibu.

“Jadi tidak perlu pandang ke belakang, kita fokus pada masa depan iaitu membesarkan anak-anak serta terus aktif dengan karier memandangkan sebelum ini saya perlahankan rentak demi keluarga.

“Saya juga dibesarkan ibu tunggal walaupun ibu dan bapa saya berpisah mati, tapi semangat serta kesungguhan ibu membesarkan kami menjadi penyuntik semangat” ujarnya.

Pada masa sama, Kaka memaklumkan dia dan Adam tidak lagi sebumbung sejak beberapa bulan lalu yang juga ruang kepadanya untuk bermuhasabah diri.

“Ikutkan sudah lebih dua bulan kami tidak lagi tinggal bersama dan saya pula ada sebulan sahaja lagi untuk habis tempoh idah.

“Anak-anak juga kini memang di bawah jagaan saya. Fokus saya sekarang mahu kerja keras untuk mereka yang jadi sumber motivasi untuk saya terus melangkah dalam kehidupan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 itu dilihat berada di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam

Mereka dilaporkan hadir bagi mengikuti prosiding kes pengesahan lafaz taklik yang difailkan penyanyi terbabit.

Kaka dan Adam pernah bercerai pada 28 Oktober 2024 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula pada awal tahun 2025.

Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 7, Aryan, 5, dan Atta Adam yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN