DENGAN memegang sebatang kayu yang dibaluti kain di hujungnya, Sarjan Mohamad Radzi Zaini menjolok muncung selaras meriam berwarna kuning yang terletak di sudut kiri pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di Pekan, Pahang.
Selepas melorong batang kayu tersebut masuk dan keluar dari hujung laras meriam beberapa kali, dia kemudiannya melakukan perkara yang sama terhadap selaras lagi meriam sama yang terletak di sebelahnya.
Pada masa sama, dua lagi anggota polis iaitu Koperal Mohd. Zahri Ab. Rahman dan Koperal Mohd. Saufpi Mat Salleh turut membantunya memeriksa komponen lain pada sepasang meriam itu bagi memastikan ia masih dalam keadaan baik.
“Boleh dikatakan inilah rutin yang biasa kami lakukan setiap kali ingin menggunakan meriam ini.
“Tambahan pula apabila bulan Ramadan tiba, jadi kami kena pastikan meriam ini dapat berfungsi dengan baik kerana akan digunakan setiap hari sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui Panorama.
Mohamad Radzi yang bertugas di Cawangan Persenjataan IPD Pekan berkata, selain dia dan dua rakannya itu, tugas menjaga dan meletupkan peluru meriam tersebut akan turut dibantu oleh empat anggota Stor Senjata dari Balai Polis Pekan.
Mereka ialah Koperal Mohd. Shizel Harizam Shafie, Koperal Daud Abdi, Koperal Sani Almarsi dan Koperal Saiful Azli Abd. Rahman.
“Walaupun tugas meletupkan meriam ini sangat mudah, tetapi sebagai ketua dalam pasukan ini, saya berasa ia amanah berat kerana ini merupakan tradisi kesultanan di negeri ini setiap kali bulan Ramadan yang perlu diteruskan.
“Sebab itulah, kami akan menyediakan dua butir katrij meriam setiap kali ingin meletupkannya kerana jika yang pertama tidak berbunyi, katrij kedua akan digunakan serta-merta,” jelasnya.
Letupan meriam setiap kali masuk waktu berbuka puasa dan imsak pada bulan Ramadan itu sememangnya menjadi tradisi zaman-berzaman khususnya bagi daerah Pekan.
Ia kali pertama dilakukan sejak zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah Shah, yang merupakan Sultan Pahang keempat.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, berdasarkan rekod yang ada, tradisi meletupkan meriam pada bulan Ramadan itu telah dimulakan seawal tahun 1967.
“Ketika itu, Almarhum Sultan Abu Bakar telah menyerahkan sepasang meriam jenis Bavaria buatan Jerman ini kepada balai polis dan diamanahkan untuk menggunakannya setiap hari pada bulan Ramadan.
“Meriam ini dihalakan ke arah Istana Abu Bakar kerana Almarhum baginda ketika itu bersemayam di istana berkenaan dan ia diletupkan sebagai memberitahu waktu berbuka puasa dan imsak kepada pihak istana.
“Tambahan pula, kebanyakan penduduk kampung ketika itu pula tidak dapat mendengar laungan azan maghrib disebabkan kedudukan rumah mereka jauh dari masjid.
“Jadi, mereka sangat bergantung kepada tembakan meriam ini untuk mengetahui waktu berbuka puasa selain waktu imsak,” jelasnya.
Menurut beliau, meriam akan diletupkan kali pertama ketika waktu maghrib pada malam pertama Ramadan sebanyak satu das, manakala satu das lagi ketika sudah masuk waktu imsak iaitu beberapa minit sebelum azan subuh dilaungkan.
Pada hari terakhir Ramadan pula, meriam akan diletupkan sebanyak dua kali pada waktu maghrib atau selepas pengumuman hari raya oleh penyimpan mohor besar raja-raja sebagai tanda masyarakat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada keesokan harinya.

Kata Mohd. Zaidi, jika suasana sunyi dan tidak banyak gangguan, tembakan meriam dapat didengari sehingga dua kilometer.
“Pada zaman dahulu, letupan meriam ini dapat didengari oleh penduduk kampung yang tinggal pada jarak sehingga lima kilometer dari balai polis.
“Tetapi dengan keadaan hiruk-pikuk kenderaan dan pelbagai bunyi lain yang datang dari pelbagai sudut ketika ini, bunyi letupannya hanya boleh didengari di kawasan berdekatan saja,” katanya.
Kata beliau lagi, sepasang meriam itu kini ditempatkan di satu kawasan khas dan akan ditutup dengan sempurna jika tidak digunakan.
Katrij meriam tersebut yang diperbuat daripada aluminimum dan gangsa pula jelasnya akan disimpan di bawah jagaan anggota Stor Senjata.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli memberitahu, sepasang meriam itu merupakan Meriam Kehormat Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang kebiasaannya digunakan untuk adat istiadat berkaitan istana.

Jelasnya, berdasarkan sejarah, meriam buatan Jerman itu pernah digunakan sempena istiadat berkhatan putera Sultan Pahang, istiadat berinai, perkahwinan dan persandingan diraja, bersiram serta kemangkatan.
Menurut beliau, selepas Almarhum Sultan Abu Bakar menyerahkannya kepada pihak polis untuk kegunaan ketika bulan Ramadan, ia kini lebih dikenali sebagai meriam Ramadan.
“Sejak 55 tahun lalu, penduduk di sekitar bandar Pekan ini sangat bergantung kepada bunyi letupan meriam ini untuk mengetahui waktu berbuka puasa dan imsak.
“Kini, dengan zaman kian moden, kita sudah boleh mendengar laungan azan melalui radio, televisyen, malah melalui aplikasi di telefon bimbit.
“Pun begitu, saya percaya penduduk sekitar bandar Pekan ini khususnya mereka yang mengetahui akan sejarah meriam ini pasti akan merindui bunyi letupan meriam setiap kali bulan puasa,” jelasnya.
Menurut Zaliza lagi, setiap tahun kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khas untuk membeli kelengkapan bagi kegunaan meriam itu khususnya katrij agar ia sentiasa mencukupi sebelum disimpan di IPD Pekan.














