KUALA LUMPUR – Rundingan berhubung penggantian sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) bagi Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih belum dimuktamadkan, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.
Beliau berkata, perkara itu masih dibincangkan melibatkan kerajaan dan pihak pembekal, termasuk sama ada LCS pertama boleh diterima secara bersyarat sekiranya isu penggantian misil belum diselesaikan.
“Kerajaan sememangnya mahu menerima kapal dalam keadaan lengkap, namun rundingan mengenai penggantian NSM masih berjalan.
“Sekiranya NSM tidak dapat diperoleh, kita perlu melihat pilihan penggantian lain dan menilai semua risiko yang ada, termasuk sama ada kapal boleh diterima tanpa sistem misil terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang akhbar ketika hadir pada Majlis Ulang Tahun ke-53 Kapal Kombatan TLDM, di sini hari ini.
Menurut beliau, proses mendapatkan misil baharu tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat kerana ia perlu ditempah dan dihasilkan sebelum dihantar.
“Ia bukan seperti membeli barang yang sedia ada di pasaran. Walaupun pesanan dibuat hari ini, penghantarannya boleh mengambil masa beberapa bulan atau bahkan bertahun-tahun.
“Kelewatan sukar dielakkan sekiranya pembekal baharu dipilih, kecuali rundingan mendapatkan NSM berjaya dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata, TLDM kini sedang meneliti pelbagai pilihan termasuk kesesuaian sistem misil, keupayaan integrasi dengan sistem tempur kapal serta implikasi kos sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, walaupun sistem misil moden boleh dipasang kemudian, aspek integrasi dengan sistem kapal perlu diberi perhatian bagi memastikan keupayaan persenjataan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pada masa ini kita masih mengkaji semua sudut. Bukan sekadar memilih misil, tetapi memastikan ia serasi dengan sistem tempur kapal dan mengambil kira kos keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














