fbpx

Jho Low, bapa dihalang lupus aset lebih AS$1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jho Low

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$1.03 bilion.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan permohonan injunksi mareva ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam kes saman 1MDB terhadap Jho Low, bapanya serta beberapa individu lain.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, bapa Jho Low, Tan Sri Larry Low Hock Peng turut dihalang daripada mengalihkan, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$401.5 juta.

Sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Jho Low dan bapanya mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung aset mereka pada nilai jumlah sama, sama ada di dalam atau di luar negara, di bawah namanya sendiri atau tidak dan milikan secara tunggal atau bersama defendan lain.

Mereka hendaklah memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima dalam masa 14 hari selepas perintah tersebut disampaikan kepada peguam mewakili dua beranak berkenaan.

Perintah itu berkuat kuasa sehingga mahkamah mendengar permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 29 Mac ini.

Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan selain injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya mengeluarkan wang tidak melebihi RM20,000 sebulan setiap seorang, yang diperlukan mereka untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

Dalam pada itu, peguam Tetuan Skrine yang mewakili 1MDB ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah tersebut.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low, bapanya, ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI