fbpx
WANITA Jepun, Okasawara teruja berpeluang mencanting dan mewarna batik di bengkel yang terletak di sebuah galeri di Kuala Lumpur itu.- Foto AMIR KHALID

Menerokai keindahan seni tradisi batik di tengah kepesatan ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELIBAT dua wanita yang sedang leka mencanting batik bermotifkan bunga raya di atas fabrik kapas dapat dilihat sebaik kami memasuki bengkel mencanting batik di Galeri Jadi Batek yang terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Sekali sekala, kedua-dua wanita ini berhenti mencanting dan mata mereka mengerling ke arah kain cantingan masing-masing sambil bertukar-tukar pandangan. Mendengar tutur bicara, jelas sekali kedua-dua wanita itu bukanlah rakyat tempatan.

Apa yang menarik perhatian kami adalah keterujaan mereka mencanting sendiri batik yang merupakan salah satu kraf tangan kebanggaan tanah air.

“Saya merupakan rakyat Jepun dan ini adalah kali pertama saya mencanting batik sepanjang empat tahun menetap di sini,” kata Sae Okasawara kepada K2.

Mengikuti suaminya yang bekerja di Malaysia pada tahun 2018, wanita ini begitu teruja apabila melihat seni yang terdapat pada batik Malaysia.

Bagaimanapun dia hanya mengetahui kewujudan bengkel mencanting batik di ibu kota itu menerusi laman sosial Instagram beberapa hari lalu.

“Proses mencanting agak sukar tetapi begitu menyeronokkan kerana saya berpeluang mengetahui proses cantingan batik dari awal hingga akhir.

“Dengan mencanting sendiri batik ini, secara tidak langsung ia membolehkan saya mengenali Malaysia dengan lebih dekat lagi,” katanya.

PROSES mencanting batik menggunakan alat canting.

Malaysia sememangnya terkenal dengan keindahan seni batiknya sejak lebih 100 tahun lalu. Menggunakan motif flora selain rekaan geometrik, batik begitu popular terutamanya di bahagian Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bukan sekadar menjadi kain basahan di rumah semata-mata, bahkan pelbagai produk berasaskan batik kini boleh dihasilkan seperti selendang, kemeja, pario dan pelitup muka.

Bagaimanapun, peredaran zaman dan kemunculan pelbagai fesyen terkini tempatan dan antarabangsa menyebabkan batik kian kurang mendapat perhatian terutama dalam kalangan generasi muda.

Mahu mempromosikan batik Malaysia terhadap kehidupan moden hari ini, Pengarah Urusan galeri batik tersebut, Colin Yong mewujudkan bengkel pembuatan batik bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di negara ini.

“Ini merupakan perniagaan keluarga yang ditubuhkan sejak tahun 1976 dan saya merupakan generasi kedua yang mengambil alih perniagaan ini. Pada asalnya, Jadi Batek merupakan sebuah kedai cenderamata yang terletak di Jalan Sultan Ismail. Selain batik, kedai ini turut menjual kraf tangan lain.

“Bagaimanapun sebaik saya mengambil alih perniagaan ini pada tahun 1999, saya mahukan ia menjadi sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya dalam mencintai dan menghargai seni batik.

“Maka, saya nekad menubuhkan bengkel batik. Ini kerana saya mahu orang ramai merasai sendiri pengalaman pembuatan batik dan menghargai seni ini. Di sini umpama satu hab batik yang mana orang ramai boleh menyaksikan pameran batik, belajar mencanting dan mewarna batik serta membelinya,” jelasnya.

COLIN

Bengkel mencanting batik mungkin lebih sinonim di kawasan Pantai Timur, tetapi dengan adanya premis seperti Galeri Jadi Batek di Kuala Lumpur ini membolehkan warga kota juga mengenali batik lebih dekat.

Di premis itu, terdapat ruang pameran, ruang jualan dan bengkel pembuatan batik. Bengkel itu mampu menempatkan sehingga 120 orang untuk mempelajari batik dalam satu masa.

Bergelumang dengan industri batik negara lebih 23 tahun lalu, Colin akui batik Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding batik terdapat di negara rumpun, Indonesia.

Begitupun kurangnya permintaan dalam kalangan masyarakat menyebabkan bekalan batik terjejas dan secara tidak langsung individu yang terlibat dalam industri pembuatan batik juga semakin berkurangan.

“Di Malaysia, pembuat batik masih lagi menggunakan kaedah mencanting dan tidak mencetak semata-mata. Penggunaan warna dan motif juga tidak sama dan ia menjadikan batik Malaysia mempunyai keunikan tersendiri.

“Berbanding Indonesia yang terikat pada satu-satu corak, industri batik Malaysia mempunyai kebebasan tersendiri yang mana para artis lebih fleksibel berkarya pada atas kain, membuat corak berbeza-beza selain warna-warna lebih vibran,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai bengkel batik itu, menurut Colin, bengkel itu membolehkan orang ramai meneroka penghasilan batik dengan lebih mendalam memandangkan ia terbuka kepada orang ramai setiap hari.

Bahkan, bengkel itu mempunyai tujuh orang pereka yang akan membantu serta memberi tunjuk ajar kepada individu berminat penghasilan batik.

“Sesiapa sahaja boleh datang mempelajari kaedah pembuatan batik. Tidak kiralah pelajar mahupun individu dewasa dan ia merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.

“Individu akan diberi peluang untuk melakar sendiri lukisan diinginkan pada kain menggunakan pensil sebelum mencanting lilin pada permukaan tersebut.

“Seterusnya mereka boleh mewarnakan batik yang dilukis mengikut kreativiti masing-masing. Akhir sekali, sebaik warna tersebut kering, mereka boleh membawa pulang karya masing-masing dan dijadikan sebagai potret lukisan,” terangnya.

ANTARA karya-karya indah batik yang dibingkaikan dan dipamerkan di premis yang boleh disifatkan sebagai pusat sehenti atau hab batik di ibu kota ini.

Bukan sahaja mencanting kain biasa, ada juga dalam kalangan pelanggannya mencanting kain untuk dijadikan pario, selendang dan pelitup muka.

Ujarnya lagi, harga dikenakan bermula RM30 dan individu akan diberikan kain, warna serta lilin untuk mencanting mengikut lukisan diinginkan pada kain kapas mahupun sutera.

Biasanya proses mencanting tidak mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang satu jam 30 minit sahaja.

Biarpun misi asal Colin pada mulanya mahu menarik minat masyarakat di negara ini tentang batik, bagaimanapun siapa sangka, bengkelnya itu menjadi tarikan kepada pelancong luar negara.

Kebanyakan mereka datang dari Rusia, Korea Selatan, China dan Jepun yang tertarik dengan batik negara.

Biarpun berbeza bahasa pertuturan dan ada dalam kalangan mereka tidak fasih bahasa Inggeris, namun menurut pereka batik di bengkel tersebut, hal itu tidak menjadi masalah buat mereka di sana.

Selain berkomunikasi menggunakan isyarat, lebih menarik mereka turut menampal perkataan-perkataan ringkas yang telah diterjemah menggunakan bahasa negara pelanggan-pelanggan sebelum ini bagi memudahkan proses pengajaran.

Menurut Norfariza Jumri, 31, yang berkhidmat di bengkel itu sejak sembilan tahun lalu, minatnya dalam batik dan pengalamannya belajar di Institut Kraf Negara dalam jurusan batik menjadi pendorong buatnya untuk berkongsi ilmu penghasilan batik kepada orang awam.

“Tidak begitu sukar sebenarnya untuk menghasilkan batik.

“Bagaimanapun bagi mereka yang pertama kali mencanting, cabaran untuk mengajar adalah di bahagian lakaran lukisan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN