PETALING JAYA – Jualan kereta terpakai di Malaysia dijangka melonjak sehingga sejuta unit setahun selepas waranti menerusi program Eautogen Extended Warranty diperkenalkan Jun ini.
Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Tony Khor Chong Boon berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi melindungi pembeli kereta terpakai di negara ini.
“Program ini pertama kali diperkenalkan di Malaysia dan kita berharap semua penjual kereta terpakai akan mengambil bahagian kerana ia membantu meningkatkan jualan mereka.
“Biasanya orang ramai bimbang untuk membeli kereta terpakai kerana khuatir dengan keadaannya. Melalui program ini, pembeli kereta terpakai berusia bawah 10 tahun akan mendapat perlindungan jaminan percuma selama setahun.
“Pembeli kemudian boleh meneruskan perlindungan jaminan sehingga usia kereta 10 tahun dengan bayaran premium yang amat munasabah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, jaminan tersebut meliputi kerosakan enjin dan kotak gear, namun boleh ditambah untuk power steering, komponen elektrik dan lain-lain.

Chong Boon memberitahu, jualan kereta terpakai di Malaysia ketika ini adalah sebanyak 400,000 unit setahun dan angka itu dianggap rendah berbanding jualan kenderaan baharu disebabkan faktor kebimbangan orang ramai terhadap keadaan kereta terpakai.
“Situasi ini berbeza berbanding di negara-negara maju yang menyaksikan jualan kereta terpakai secara purata 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kereta baharu seperti di Amerika Syarikat sebanyak 40 juta unit setahun,” katanya.
Justeru FMCCAM meramalkan program waranti dan pelbagai inisiatif lain termasuk pendigitalan dan pemasaran media sosial akan melonjakkan jualan kereta terpakai sehingga sejuta unit setahun kira-kira tiga tahun lagi.
“Buat permulaan, jaminan diberikan untuk kereta berusia bawah 10 tahun dan kita sedang meyakinkan bank dan syarikat insurans untuk melanjutkan bagi kereta berusia bawah 12 tahun.
“Progam ini akan dipantau oleh kami bagi memastikan ia berjalan dengan lancar. Waranti terpakai menerusi pembiayaan bank atau pembelian secara tunai,” katanya.
Sementara itu, jurujual kereta terpakai dikenali sebagai Apul, 39, menyambut baik program tersebut kerana akan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk membeli kereta terpakai.
“Sebelum ini ada premis memberi jaminan untuk beberapa bulan, tetapi memberi pelbagai alasan apabila berlaku kerosakan. Keadaan itu menyulitkan jurujual kereta kerana terpaksa berdepan dengan kemarahan pembeli sekali gus merosakkan reputasi mereka,” katanya.














