Berbuat baik kepada ibu bapa termasuk menjaga mereka ketika usia tua adalah perintah agama. – Gambar hiasan

Tanya Mufti: Ketidakadilan ibu bapa bukan alasan bagi anak untuk derhaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apakah hukum seorang abang berkecil hati dengan emak atau ayah dan sudah bertahun tidak menjenguk mereka di kampung, disebabkan mereka memberikan sebidang tanah kepada adik?

Jawapan:
Disebabkan jasa ibu bapa, semua insan tanpa mengira agama percaya bahawa berbuat baik kepada mereka merupakan sikap dan perbuatan mulia.

Namun, ketaatan kepada ibu bapa dalam ajaran Islam tidak hanya terikat dengan jasa mereka semata-mata. Dalam Islam, tujuan utama berbuat baik kepada ibu bapa adalah kerana ia merupakan perintah Allah S.W.T.

Seorang Muslim berbuat baik kepada ibu bapanya kerana memenuhi perintah Allah, maka itu merupakan kewajipan dalam beragama. Seseorang Muslim tidak menderhakai ibu bapa kerana takutkan azab Allah dan kemurkaan-Nya.

Ertinya, jika anak menemui ibu bapanya yang tidak pernah menjaganya semasa kecil, dia tetap mendapat pahala besar jika berbakti kepada mereka.

Sebaliknya, jika ibu bapa itu berjasa besar dalam kehidupan anak, tetapi menyuruh anaknya melakukan sesuatu yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, perintah ibu bapa dalam hal itu tidak perlu dipatuhi, sekalipun jika kedua-duanya berkecil hati atau marah kerana hal tersebut.

Para sahabat Nabi s.a.w ada yang terpaksa menyanggahi ibu bapa mereka yang musyrik apabila menganut Islam. Ini seperti yang berlaku pada Mus’ab bin ‘Umair, Sa’d bin Abi Waqqas, Abu Jandal bin Suhail, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah dan lain-lain.

Firman Allah dalam Surah Luqman ayat 15: (maksudnya) “Dan jika kedua-dua ibu bapa mendesakmu supaya engkau mensyirikkan denganku sesuatu yang engkau (dengan fikiran warasmu) tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada kedua; dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…”.

‘Uquq al-Walidian (derhaka kepada ibu bapa) bermaksud melakukan apa-apa tindakan yang menyakiti perasaan mereka.

Hal ini termasuk dalam dosa besar.

Seorang anak hendaklah mengelak apa sahaja tindakan yang menyakiti hati ibu bapanya.

Ini melainkan jika ibu bapa meminta anak melakukan hal dosa atau zalim pada pihak lain, atau di luar kemampuan anak.

Maka, itu tidak dianggap sebagai dosa jika tidak mematuhi ibu bapa.

Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 23: (maksudnya) “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Sabda Nabi s.a.w tentang dosa besar: “Mensyirikkan Allah, menderhakai ibu bapa, membunuh manusia dan penyaksian palsu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Memang benar, pada masa sama, ibu bapa diperintahkan adil kepada anak-anak. Jika ibu bapa itu menzalimi anak atau berbuat tidak adil, mereka akan bertanggungjawab di hadapan Allah nanti pada Hari Kiamat. Ini kerana, mereka telah tidak menunaikan amanah yang Allah berikan.

Namun, kecacatan ibu bapa dalam menunaikan tanggungjawab atau keadilan terhadap anak tidak membolehkan anak untuk menderhakai mereka dalam perkara yang baik.

Sebagai insan, seorang anak mungkin berkecil hati atas sikap ibu atau ayahnya.

Namun, hendaklah dia menyerahkan urusan itu antara ibu bapa dengan Allah, sementara dirinya melakukan kebaikan dengan kadar yang Allah perintahkan kerana itu merupakan pahala untuk dirinya sendiri.

Dalam ayat 15, Surah Luqman di atas, sekalipun Allah tidak membenarkan anak taat kepada ibu bapa dalam perkara syirik, tetap diperintahkan untuk berbuat baik dalam urusan dunia yang lain yang tidak bercanggah dengan agama.

Demikianlah sepatutnya sikap wajar diambil.

Perbuatan anak sengaja tidak pulang jika menyakiti hati ibu bapa merupakan satu dosa besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN