PUTRAJAYA-Malaysia menyertai 140 negara lain mengundi bersetuju menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengecam keras tindakan Rusia yang menceroboh Ukraine.
Resolusi ‘Tindakan Keganasan ke atas Ukraine’ itu diterima pakai pada pengundian Sesi Khas Ke-11 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, Amerika Syarikat lewat semalam.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan berkata, hanya lima negara membantah termasuk Rusia sendiri selain sekutunya, Belarus, Eritrea, Korea Utara dan Syria manakala baki 35 negara lagi mengambil keputusan untuk berkecuali.
Antaranya ialah Afrika Selatan, Algeria, Angola, Bangladesh, Bolivia, Cuba, India, Iran, Kazakhstan, Laos, Mali, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Sudan, Tanzania, Vietnam dan Zimbabwe.
“Walaupun tidak bersetuju sepenuhnya isi resolusi itu, Malaysia sokong atas pendirian prinsip hormat kedaulatan, kemerdekaan dan integriti,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Kejayaan persetujuan dua pertiga negara anggota PBB itu dimaklumkan Presiden UNGA, Abdulla Shahid sebelum meraih tepukan gemuruh selain delegasi berdiri sebagai tanda gembira. -KOSMO! ONLINE














