KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan premis di sekitar Wangsa Maju yang terlibat aktiviti perjudian dalam talian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik dijalankan susulan aktiviti perjudian masih kembali aktif selepas beberapa kali diserbu polis.
“Kita membuat pemotongan elektrik di sembilan premis rumah kedai dipercayai disewa sindiket perjudian online di Setapak Jaya, Jalan Tasik Titiwangsa, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang Hilir dan Jalan Gombak Batu 5 .
“Kebanyakan premis terbabit pernah diserbu lebih daripada tiga kali dan kesalahan sama masih berulang,” katanya dalam sidang akhbar di Setapak Jaya, di sini hari ini.
Jelas Ashari, terdahulu pihaknya menahan tiga individu termasuk penjaga premis perjudian dalam talian di Setapak Jaya pada 21 Januari lalu.
“Kita berjaya merampas pelbagai peralatan digunakan sindiket perjudian online dan suspek telah dituduh di mahkamah pada 26 Januari lalu.
“Operasi pemotongan bekalan elektrik akan diteruskan sebagai langkah untuk memerangi kegiatan judi haram di daerah ini,” ujarnya.
Katanya, pemotongan bekalan eletrik itu dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Seksyen 38(1A) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447). – KOSMO! ONLINE














