SERANGAN Rusia ke atas Ukraine, negara berpopulasi 44.9 juta itu telah dikutuk oleh masyarakat dunia, bahkan ada menyifatkan serangan tersebut sebagai permulaan Perang Dunia Ketiga atau Perang Dingin baharu.
Ia bermula pada 24 Februari lalu dan terus berlarutran sehingga kini menyebabkan ramai penduduk mencari tempat perliundungan dan melarikan diri ke sempadan negara jiran.
Menurut UNHCR, dianggarkan lebih 100,000 orang penduduk Ukraine telah meninggalkan rumah mereka dalam tempoh 24 jam pertama selepas serangan pertama Rusia.
—————————————————————————————————————————————————-
TANGGAL 24 Februari lalu, sebahagian besar penduduk ibu kota, Kiev, Ukraine terjaga daripada lena seawal pukul 6 pagi selepas terdengar bunyi bedilan bom dan siren.
Bunyi tersebut ternyata menakutkan mereka sehingga ada yang mencari tempat perlindungan dengan melarikan diri ke sempadan negara jiran.
Tindakan itu telah menyebabkan lebuh raya utama menghubungkan Kiev dengan sempadan Poland di sebelah barat mengalami kesesakan teruk.
Puluhan ribu lagi dilaporkan bergegas membawa beg pakaian serta selimut menuju ke lapangan terbang dan stesen kereta api bawah tanah untuk berlindung. Bank, pasar raya dan stesen minyak pula diserbu orang ramai bagi mendapatkan wang, makanan serta petrol sebagai bekalan menjelang hari-hari mendatang.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang anggota keselamatan yang berdiri di sebatang jalan utama di Kiev menjerit kepada pejalan-pejalan kaki menggunakan pembesar suara: “Ini adalah perang.”
Begitulah situasi genting yang berlaku di Kiev pada minggu lalu selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan perang ke seluruh Ukraine.
Pengisytiharan tersebut memberi lampu hijau kepada tentera Rusia menceroboh Ukraine selepas beberapa bulan berkampung di sempadan.
Sehingga kini, dilaporkan lebih 5,000 telah terkorban meliputi orang awam, sukarelawan dan anggota tentera kedua-dua negara sejak perang tercetus.

PUTIN dilaporkan telah mengerahkan pasukan khas tenteranya termasuk unit senjata nuklear untuk berada dalam keadaan bersedia ‘peringkat tinggi’.
Berdasarkan angka korban tersebut, 350 orang awam dilaporkan terbunuh termasuk 14 kanak-kanak. Seramai 1,684 orang awam pula dilaporkan cedera.
Seorang penduduk Kiev, Mark yang juga seorang eksekutif jualan berkata, dia terkejut daripada tidur selepas terdengar bunyi siren polis dan ambulans.
Mark, 27, yang juga merupakan salah seorang daripada 900,000 tentera simpanan Ukraine memaklumkan, dia bersedia dipanggil untuk berperang dengan Rusia.
“Kami tidak mempunyai cara lain lagi. Saya mesti mempertahankan negara ini. Saya juga mungkin akan terbunuh disebabkan peperangan ini.
“Jika pihak tentera datang kepada saya dan meminta saya berjuang sehingga mati demi negara ini, saya akan melakukannya,” tegasnya kepada agensi berita CNN baru-baru ini.
Menurut UNHCR, dianggarkan lebih 100,000 orang penduduk Ukraine telah meninggalkan rumah mereka dalam tempoh 24 jam pertama selepas serangan pertama Rusia.
Malah, media milik kerajaan dan seorang saksi melaporkan, lebih 7,000 kenderaan berbaris sejauh 30 kilometer di persimpangan sempadan Poland.
Serangan Rusia ke atas negara berpopulasi 44.9 juta itu telah dikutuk oleh masyarakat dunia. Malah, ada yang menyifatkan serangan tersebut sebagai permulaan Perang Dunia Ketiga atau Perang Dingin baharu.

EKSPRESI seorang wanita yang tercedera.
Ketua Jawatankuasa Dewan Hal Ehwal Luar, Parti Republican, Michael McCaul menyifatkan Rusia telah melancarkan serangan habis-habisan, sesuatu yang tidak pernah dilihat sejak beberapa dekad lalu.
“Kita melihat serangan udara, darat dan laut sedang berlaku. Serangan seperti ini tidak pernah terjadi sejak Hitler menyerang Poland pada Perang Dunia Kedua.
“Saya berharap perang ini bukan satu permulaan kepada Perang Dunia Ketiga,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dalam rancangan CBS Mornings.
Konflik kedua-dua negara timbul apabila Putin menuduh Ukraine ditadbir oleh ahli Nazi selepas presiden pro-Rusia di Ukraine, Victor Yanukovych digulingkan pada tahun 2014.
Rusia kemudian bertindak balas merampas wilayah Crimea dengan menyokong puak pemisah yang memerangi tentera Ukraine.
Pada Oktober lalu, Rusia mengerahkan sejumlah besar anggota dan aset ketenteraan ke sempadan Ukraine sebelum Putin bertindak membatalkan perjanjian damai 2015 dengan mengiktiraf kawasan puak pemisah sebagai bebas.
Pada masa sama, Kementerian Luar Rusia menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menghentikan aktiviti ketenteraan di Eropah Timur dan Asia Barat.
Gesaan tersebut bagi menghalang Ukraine yang merupakan negara bekas jajahan Kesatuan Soviet daripada menyertai NATO sekali gus membuka peluang buat AS menempatkan pasukan dan aset ketenteraan.
AS dan sekutunya dalam NATO telah menolak gesaan Moscow itu, sebaliknya mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia dan menghantar bantuan kepada Ukraine.
Presiden AS, Joe Biden, berkata, Putin seorang yang agresif dengan telah menolak sebarang usaha diplomasi dan memilih peperangan bagi menyelesaikan konflik.
“Putin memilih perang ini. Sekarang dia dan negaranya perlu menanggung akibatnya,” ujar beliau seperti dipetik dalam portal Huffington Post.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Rusia berusaha menggulingkan kerajaan yang telah dipilih secara demokrasi supaya Ukraine ‘dibersihkan daripada Nazi’.
“Musuh (Rusia) telah menetapkan saya sebagai sasaran nombor satu. Keluarga saya pula dijadikan sasaran kedua. Apapun berlaku, kami tetap bersama rakyat,” tegasnya.
Pengkaji politik Rusia di Jabatan Perhubungan Antarabangsa, Prof. Emeritus Graeme Gill berkata, dia belum pasti niat sebenar Putin di Ukraine.
“Tiada siapa tahu apa yang ada dalam fikiran Putin ketika ini. Dia mungkin membuat penggabungan Ukraine-Rusia, menggantikan kerajaan Ukraine sedia ada atau membuat ‘pembersihan Nazi’.
“Dalam ucapan Putin sebelum ini, ia menjurus kepada kepada ketiga-tiganya. Tetapi, satu tugas sukar untuk dilakukan,” katanya.

DUNIA mendesak agar Putin menghentikan serangan dan pencerobohan ke atas Ukraine.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Strategi dan Keselamatan di Scowcroft, Barry Pavel berpendapat, peperangan tersebut menandakan dunia telah memasuki era sejarah baharu yang lebih berbahaya.
Jelasnya, sepanjang perang tersebut berlangsung, dunia akan melihat persaingan berterusan antara Rusia dan Barat menerusi NATO dan Kesatuan Eropah.
“Dalam era moden, krisis perang ada pasang surutnya. Keadaan ini lebih berbahaya kepada keselamatan kita. Ancaman Rusia terhadap Eropah akan membuatkan sekutu NATO bersatu,” katanya.
Keadaan juga kini dilihat semakin meruncing apabila Putin dilaporkan mengerahkan pasukan khas tenteranya termasuk unit senjata nuklear untuk berada dalam keadaan waspada ‘peringkat tinggi’. Arahan itu berpunca daripada kenyataan agresif Barat ketika Rusia dikecam hebat berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Terdapat juga desas-desus bahawa Belarus akan menyertai Rusia menyerang Ukraine.
Presiden Belarus, Alexander Lukashenko bahkan memberi amaran terhadap keputusan melulu dan provokasi Barat yang
mengenakan sekatan ketat ke atas Rusia yang boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
“Sekatan ke atas sektor perbankan, minyak dan gas Moscow adalah lebih teruk daripada peperangan.
“Mereka seolah-olah sengaja beri tekanan kepada Kremlin untuk bertindak lebih dahsyat,” katanya.
Adakah kita kini di ambang Perang Dunia Ketiga? Hanya masa yang akan menentukan.














