PETALING JAYA – Memegang status sebagai ibu tunggal bukanlah satu tugas mudah, lebih-lebih perlu mengurus segala keperluan anak-anak selain mencari rezeki bagi menyara keluarga.
Menyedari kesukaran hidup yang dilalui, rata-rata golongan ibu tunggal di negara ini masih bergantung kepada ihsan kerajaan untuk lebih membela nasib mereka terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat ketika ini.
Seorang ibu tunggal, Khatijah Che Ram, 54, berkata, selepas kematian suaminya pada November lalu, dia merasa seperti hilang separuh nyawa dan kekuatan hidup sehingga perlu merancang perbelanjaan dengan baik untuk menampung kehidupan.
“Bagi saya, jika perlu kerajaan hendaklah menyediakan peruntukan yang lebih kepada golongan kami, seperti meningkatkan jumlah bantuan khas sekurang-kurangnya RM500 sebulan bagi menampung kehidupan dan perbelanjaan bulanan.
“Selain itu, sediakan satu saluran pengaduan yang sentiasa bersedia membantu golongan ibu tunggal untuk mendapatkan sebarang bentuk bantuan terutamanya ketika waktu kecemasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagi Mahani Abdullah, 59, pula, dia berharap bantuan dari segi keperluan barangan asas dapat terus disalurkan kepada golongan ibu tunggal terutamanya mereka yang berada dalam kategori B40 dan ke bawah.
“Peningkatan harga barang ketika ini sangat memberi tekanan kepada saya, sekiranya kerajaan komited dalam menyalurkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak, tepung dan telur pasti meringankan sedikit bebanan kehidupan kami.
“Saya juga berharap ada pihak berwajib menjalankan lawatan berkala ke rumah golongan ibu tunggal, kerana saya yakin ramai yang masih menderita ketika ini, kerana tidak semua golongan ibu tunggal mempunyai kerja, kebanyakannya suri rumah sepenuh masa,” katanya.
Menerusi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang diumumkan semalam, jumlah ibu tunggal yang direkodkan di negara ini kini mencecah 1 juta orang di negara.














