fbpx
FIFY AZMI

Nak gelar saya tomboy? Silakan – Fify Azmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GRAF lakonan pelakon Fify Azmi boleh dikatakan agak perlahan pada awal kemunculannya dan situasi tersebut tidak perlu dinafikan.

Mana tidaknya, dia sendiri memulakan karier dalam gelanggang seni beberapa tahun lalu bukanlah atas tiket sebagai anak panggung atau pelakon. Fify sebaliknya menghulurkan salam perkenalan dalam kancah seni dan dunia hiburan sebagai pengacara televisyen dalan variasi program.

Hanya beberapa tahun kemudian, barul  ah bakat lakonannya mula digilap.

Bermula dari situ, pelbagai tawaran lakonan mula bertubi-tubi singgah ke pangkuan rezekinya.

FIFY mengakui rezekinya dalam bidang lakonan semakin lebat, sekali gus menaikkan popularitinya selepas memenangi trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM31 baru-baru ini.

“Ya, jujur saya katakan rezeki dalam lakonan memang agak sedikit lambat berbanding bidang pengacaraan.

“Saya masuk dalam bidang ini pun ketika usia 24 tahun dan mula dengan mengacara beberapa program realiti televisyen sebagai pengenalan.

“Kalau ikutkan minat berlakon memang dah ada, cuma rezeki ke arah itu sedikit lewat, namun diganti Tuhan dengan cabang berbeza,” katanya kepada Pose.

Penantian, tuah

Beritahu Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi, meskipun rezekinya dalam bidang lakonan hadir sedikit telat, namun dia tetap bersyukur hasil penantiannya selama ini boleh disifatkan cukup berbaloi.

Kata Fify, percubaannya sebagai pelakon menerusi naskhah pertama dalam filem Wira beberapa tahun lalu tidak pernah disangka bakal menjadi penggerak momentum kerjaya lakonan kini.

“Apa yang istimewanya, walaupun lambat berlakon, tetapi naskhah perdana yang saya terima adalah sebuah filem.

“Ya, filem. Saya sendiri pada awalnya memang tidak percaya.

“Manakan tidak, pelakon-pelakon lain biasanya mula bertatih dengan drama atau telefilem terlebih dahulu, tetapi saya terus ke layar perak,” katanya.

TIDAK mahu terus selesa dengan karakter sama, Fify bakal menghiasi slot Akasia tidak lama lagi sekali gus membuktikan kebolehannya membawakan pelbagai stail lakonan.

Biasanya apa yang kita sering dengar, penantian adalah satu penyiksaan. Tetapi itu sama sekali tidak bagi Fify.

Penantiannya untuk bergelar pelakon bukan sahaja menjadi satu kenangan terindah tetapi disifatkan cukup berbaloi apabila percubaan sulungnya menerusi filem Wira benar-benar menjadi.

Mentah, hijau dan serba-serbi masih baharu, namanya tiba-tiba menjadi bualan dek kemenangan bergaya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) hujung tahun lalu.

Kata Fify, impak kemenangan yang diperolehi menerusi anugerah berprestij tersebut betul-betul membuka jalan dan pintu rezeki buatnya sampailah ke hari ini.

“Itu filem pertama saya dan kemenangan pertama pada FFM. Itu anugerah paling berprestij yang saya dapat dan langsung tidak pernah saya fikirkan kerana tercalon saja pun sudah cukup menggembirakan.

“Sejujurnya sampai sekarang pun saya masih tak percaya betul ke saya menang kategori tersebut. Kenapa saya dan bukan orang lain yang lebih hebat,” ujarnya.

Skeptikal, tak kisah

Tidak dinafikan, semasa awal penglibatan dalam dunia lakonan, ramai dalam kalangan penonton lebih kenal dan tertarik terhadap watak lain daripada yang lain yang dijayakannya.

Tomboy, lengkap dengan perwatakan kasar dan langsung tiada sisi lemah lembut apatah lagi sopan santun itulah yang paling mudah diingati penonton tentang Fify.

Tidak berdosa apatah lagi bersalah andai dikatakan sehingga ke saat artikel ini sedang dibaca, Fify masih diingati dalam benak fikiran penonton dengan watak-watak sedemikian.

WANITA berusia 32 tahun ini langsung tidak hairan dengan skeptikal khalayak yang gemar melabelnya sebagai perempuan kasar dan tomboy impak keberkesanan lakonannya sebelum ini.

“Saya tidak kisah dengan skeptikal dan pandangan orang mengenai watak saya yang dianggap kasar, tomboy dan langsung tiada sisi lembut.

“Mungkin sebab komitmen lakonan dan sejak naskhah pertama lagi saya diminta untuk bawa watak sedimikian, jadi saya terima sajalah walaupun pada awalnya berperang juga dengan hati dan perasaan.

“Tapi peluang tak datang banyak kali dan benda tersebut perkara baharu bagi saya sebagai pelakon. Jadi saya anggap dan terima watak-watak kasar tersebut sebagai satu percubaan serta cabaran,” katanya.

Akui Fify lagi, sehingga kini, watak yang diterima juga masih cenderung berkarakter sedemikian. Lantas, tidak hairanlah skeptikal sebegitu menebal terhadapnya.

“Sejak filem Wira yang memerlukan saya untuk membawa karakter kasar dan memang jauh berbeza daripada perwatakan sebenar, sejak itu jugalah banyak watak sedemikian ditawarkan.

“Kalau tanya saya selesa atau tidak dengan watak-watak tersebut, jujur saya okey sahaja. Mahu atau tidak, saya kena terima dan lakonkan sebaik mungkin.

“Mungkin bila dah beberapa kali keluar dalam televisyen dengan watak-watak kasar sedemikian rupa dan terbaharu menerusi drama Ratu Ten Pin yang memerlukan saya untuk menjadi tomboy.

“Jadi skeptikal orang luar yang diri saya pun begitu tak boleh saya tepis dan elak,” ujarnya.

Dibuai cinta

Tutup soal karier dan populariti lakonan yang mula didaki, Fify ketika ditemui baru-baru ini enggan berbasa-basi soal hubungan cinta terjalin bersama pelakon, Nafiez Zaidi.

Kata Fify, sejak mereka dipertemukan dalam sebuah drama sekitar pertengahan tahun lalu, hubungan mereka semakin rapat.

Kebetulan pula masing-masing berstatus solo, jadi keterbukaan dan penerimaan antara satu sama lain mudah menyatu.

DALAM soal cinta, Fify tidak pernah menyembunyikan status hubungannya dengan kekasih hatinya, pelakon, Nafiez Zaidi.

“Kalau ditanya, ya tiada istilah rahsia apatah berselindung, kami berdua memang sedang dilamun cinta. Dia (Nafiez) istimewa dan berbeza dengan lelaki-lelaki yang pernah saya kenal sebelum ini.

“Fasa perkenalan itu masih ada, tetapi kalau ikutkan sekarang ini sudah fasa orang bercintalah. Kami selesa dengan hubungan sekarang dan dalam masa sama masih lagi terus mengenali.

“Keluarga kami pun sudah kenal antara satu sama lain. Pendek kata mereka dah merestui hubungan cinta kami dan bila sudah tiba masa, pasti fasa pernikahan itu akan dimeterai kelak,” tuturnya lantas menutup bicara seraya tersipu malu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN