PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan bagi tempoh seminggu bermula 3 Februari hingga 9 Februari melibatkan negeri Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, luruan angin timuran dijangka berlaku di rantau negara ini dan boleh menyebabkan hujan berterusan di timur Sabah serta tengah dan barat Sarawak dalam tempoh bermula 5 Februari sehingga 7 Februari ini.
“Di samping itu, cuaca lembap dan hujan juga dijangka di kawasan pesisir pantai negeri-negeri pantai timur semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang pada sebelah pagi.
“Manakala negeri-negeri pantai barat Semenanjung seperti Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka akan mengalami ribut petir pada sebelah petang,” katanya.
Menurut Muhammad Helmi, cuaca panas dan kurang hujan dijangka berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” ujarnya. -K!ONLINE














