IPOH – Ejen nikah Siam palsu bertindak licik apabila mengaut untung puluhan ribu ringgit ketika memperdaya ramai pasangan terdesak untuk bernikah sama ada untuk menambah isteri atau menghalalkan hubungan cinta terlarang dengan mengenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000.
Selain itu, pasangan akan dikenakan caj tambahan RM300 untuk dibawa masuk ke Thailand kononnya sebagai bayaran untuk berurusan dengan pihak berkuasa agama Islam di sana. Bayaran tidak termasuk makan minum, pengangkutan dan penginapan.
Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja menyusahkan banyak pihak, malah menyukarkan pasangan tersebut untuk mendaftarkan perkahwinan secara sah di negara ini seterusnya memberi masalah kepada zuriat mereka.
Sindiket itu menjanjikan kononnya urusan pernikahan yang sebelum ini tertangguh kerana pintu sempadan ditutup kerana Covid-19 kini boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah asalkan sanggup membayar segala kos.
Bagaimanapun, apabila tiba pada hari yang dijanjikan untuk bertolak ke Siam, ahli sindiket memberikan pelbagai helah antaranya pasangan boleh bernikah di dalam negara dan tidak perlu ke negara jiran.
Mendedahkan perkara itu, seorang ejen nikah yang ingin dikenali sebagai Ali, 50-an, berkata, ejen hanya memberikan sijil nikah yang diragui kesahihannya tanpa menyertakan surat pengesahan berkahwin dari Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla.
“Saya telah membantu lebih 30 pasangan di Perak bernikah secara sah di Siam dan tiada sijil nikah akan dikeluarkan tanpa membuat urusan di sana.
“Mana-mana pasangan yang tidak pergi ke sana sebenarnya telah ditipu. Sindiket memberitahu urusan itu telah dipermudahkan kononnya jurunikah Siam boleh datang ke Perak untuk menguruskan perkahwinan sedangkan itu satu penipuan,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, sindiket akan meyakinkan pasangan kononnya mereka telah mendapatkan kerjasama dengan jurunikah.
Menurut Ali, lebih licik apabila sindiket akan membawa beberapa individu yang diupah untuk berlakon sebagai saksi.
“Jurunikah turut mengeluarkan sekeping surat bertulisan jawi seakan-akan sijil nikah tulen. Biasanya yang ditipu ialah pasangan yang terdesak dan tidak tahu selok belok pernikahan di Siam yang sebenar,” katanya.
Ujar Ali, dia sendiri terpaksa menolak permintaan lima pasangan untuk bernikah di Siam kerana bimbang dengan musim pandemik.
“Prosedur sebenar ialah sijil nikah setiap pasangan yang bernikah di Majlis Agama Islam Songkhla akan dikepilkan bersama gambar, jurunikah, dua saksi serta dua salinan pasport pengantin,” katanya.
Seorang lagi ejen nikah dikenali sebagai Faizal memberitahu, setiap pasangan menikah di Siam akan mendaftar semula di Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla.
“Semua dokumen perlu dicop oleh konsulat Malaysia sebelum pasangan membuat pendaftaran semula di pejabat agama negeri,” katanya.
Tambahnya, jika terdapat pasangan yang bernikah hanya di tepi sempadan, namun menggunakan khidmat jurunikah yang mendakwa sebagai kadi dari Thailand, itu satu penipuan.
Sehubungan itu, Faizal menasihatkan mana-mana pasangan yang ingin bernikah di Siam agar tidak terpedaya dengan taktik licik sindiket.













