fbpx
LISA SURIHANI

Saya tiada syarat – Lisa Surihani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LISA Surihani. Sepotong nama yang cukup indah lagi disegani dalam industri kreatif dan seni tanah air.

Dia bukan sahaja seorang wanita yang dikurniakan kecantikan sosok fizkal, bahkan terlihat sempurna dalaman. Semuanya terpamer oleh keperibadian dan bicaranya yang bijak tersusun.

Tergolong dalam kategori senior, Lisa yang sudah melepas era pendakian populariti ternyata sudah banyak melalui sepak terajang industri. Pada usia 34 tahun, banyak perkara sudah menjadi alah bisa tegal biasa buat dirinya, sekali gus meletakkan diri sebagai antara anak seni yang menjadi teladan buat generasi sekarang.

BERTUDUNG tidak mengubah pendirian Lisa untuk terus berkecimpung dalam dunia seni yang sudah sebati dalam dirinya.

“Kalau tak silap, filem terakhir lakonan saya ialah Sinaran pada tahun 2005. Waktu itu rambut saya merah lagi (tertawa),” ujar Lisa atau nama sebenarnya, Lisa Surihani Mohamed secara berseloroh.

Kini, kehidupannya lebih fokus buat keluarga di samping suami tercinta, Yusry Abd. Halim dan buah hati pengarang jantungnya, Yahaira Leanne, 5, dan Yusof Leonne, 3.

Biarpun begitu, bidang seni tetap menjadi antara lubuk rezeki buat dirinya.

“Bukan tiada tawaran berlakon, ada memang ada, namun saya terpaksa tolak kerana bercanggah dengan jadual. Lagi pun, saya tidak dapat menafikan bahawa industri perfileman agak perlahan sejak akhir-akhir ini.

“Disebabkan itu, saya bekerja ke arah lain iaitu pengacaraan. Saya juga sentiasa memperbaiki diri dari segi kosa kata, sebutan dan banyak hal kecil lain yang mungkin kita sebagai anak seni kadang-kadang terlepas pandang.

“Alhamdulillah, saya seimbangkan dengan perkara lain juga seperti promosi produk dan sebagainya dalam media sosial,” cerita Lisa panjang lebar.

BUAT masa sekarang, Lisa sedang berjinak-jinak dengan dunia belakang tabir. Suaminya, Yusry sentiasa memberi galakan agar suatu hari nanti, Lisa akan duduk di bangku pengarah. Tinggal lagi, Lisa yang belum bersedia. – AMIR KHALID

Syarat

Manis bertudung bawal ketika ditemui HibGlam pada sidang akbar kempen Merdeka Astro: Negaraku Malaysia di ibu negara baru-baru ini, Lisa tidak pernah hilang ramah saat berbicara.

Mula bertudung sejak Jun 2019, Lisa berkata, dia tidak pernah meletakkan syarat tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang lakonan.

“Saya tidak meletakkan syarat tertentu untuk berlakon. Kalau ada babak bersentuhan, kami berbincang dengan pengarah atau pihak produksi.

“Kalau saya sebagai wanita Muslim bertudung ingin menjayakan babak bersentuhan tangan dengan pelakon lelaki lain misalnya, kami akan fikirkan alternatif sebaik mungkin.

“Namun, tiadalah saya menolak untuk bersentuhan. Saya yakin pihak produksi pun mengerti kaedah sepatutnya untuk menjayakan babak bersentuhan melibatkan pelakon wanita bertudung,” ujar Lisa.

Ditanya tentang sama ada dia bersikap selektif dari segi perwatakan, jawab Lisa: “Saya tidak meletakkan perimeter tertentu untuk berlakon. Kalau ada beberapa perkara yang tidak sesuai dengan diri saya sekarang sebagai wanita bertudung, saya sedia berbincang.

“Saya sedar saya masih seorang anak seni, namun pada masa yang saya, saya juga sedar, saya seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak.”

SENTIASA bersyukur dengan pemberian rezeki paling berharga daripada Allah iaitu dua cahaya mata, Yahaira Leanne dan Yusof Leonne, Lisa bagaimanapun tidak pernah menolak untuk menambah jumlah anak.

Bersara

Melanjutkan bicara, Lisa mengakui sering terfikirkan nasibnya jika suatu hari nanti tidak lagi aktif dalam dunia seni dek perubahan status dan imej yang dijalani kini.

“Bermacam-macam soalan pernah muncul dalam fikiran saya mengenai apa yang ingin dilakukan jika tidak lagi aktif.

“Lagi pun, sebagai seorang manusia yang berkerjaya dalam apa bidang sekali pun pasti pernah terfikir perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk dilakukannya dalam hidup.

“Maklumlah, sampai bila nak terikat dengan satu-satu kerja saja dan usia pun makin meningkat. Jadi, memang setiap hari saya berdoa memohon petunjuk daripada Allah,” katanya.

Jika rezekinya masih dalam kerjaya seni seperti yang Allah izinkan, maka pohon Lisa semoga urusan tersebut dipermudahkan.

“Kalau betul masih ada rezeki buat saya dalam bidang ini, saya sentiasa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan jalan kerjaya saya.

“Kalau sudah tiada ruang untuk saya dalam bidang ini dan Allah menginginkan saya untuk berhenti untuk menceburkan diri dalam bidang lain, saya selalu memanjatkan doa agar ditunjukkan serta dibukakan jalan ke arah itu. Insya-Allah,” luah Lisa menggulung bicara.

LISA mengakui masih cintakan dunia lakonan dan tidak pernah merancang untuk bersara dalam masa terdekat. Bagaimanapun, sebagai seorang anak seni, dia pernah terfikir untuk bersara, namun masih belum ada perancangan yang menyeluruh ke arah tersebut.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN