MALAYSIA menerusi Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia (CRMY) mengorak langkah dalam penghasilan vaksin apabila mengusahakan vaksin kanser kepala dan leher yang kini dalam proses pembangunan dan belum dikomersialkan.
Malaysia antara negara yang mencatatkan kadar tertinggi untuk kanser ini.
Keberkesanan vaksin yang dibangunkan itu adalah untuk rawatan terapeutik dan bukan bagi mencegah.
Vaksin ini hanya diberi apabila seseorang itu sudah didiagnosis berhadapan dengan kanser kepala dan leher.
————————————————————————————————————————————
BERBICARA tentang penyakit kanser, ia merupakan antara penyebab tertinggi yang menyumbang kepada kadar kematian.
Di Malaysia sendiri kanser kepala dan leher antara masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat di negara ini.
Menurut portal knowyourmedicine.gov.my, kanser kepala dan leher melibatkan kawasan bibir, mulut, lelangit, hidung, farinks, larinks dan telinga. Ia juga melibatkan kawasan kelenjar air liur utama parotid dan submandibular.
Kanser ini berbahaya dan boleh menyebabkan penyempitan saluran pernafasan atau pemakanan.
Ketua Unit Penyelidikan Imunologi dan Imunoterapi Kanser, Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia (CRMY), Dr. Lim Kue Peng berkata, lebih 60 peratus kes kanser kepala dan leher berlaku di Asia.
Menurutnya, Malaysia antara negara yang mencatatkan kadar tertinggi untuk kanser ini.
“Kanser kepala dan leher ini melibatkan banyak kawasan di bahagian kepala dan leher tersebut, tetapi yang paling biasa adalah mulut dan nasopharynx ataupun pangkal hidung.
“Kanser mulut dan nasopharynx ini juga tersenarai sebagai kanser kepala dan leher,” katanya kepada K2.

Tambahnya, sebanyak 70 peratus kes kematian kanser mulut berlaku di Asia.
Dalam pada itu, lebih 70 peratus pesakit yang didiagnosis berhadapan dengan masalah itu sudah berada pada tahap tiga atau empat.
Ini disebabkan masyarakat kita masih kurang akan kesedaran berkenaan masalah kanser kepala dan leher.
Kue Peng menjelaskan, terdapat beberapa simptom yang memungkinkan seseorang itu berhadapan dengan masalah ini.
“Antaranya apabila berlaku ulser pada bahagian mulut. Kebiasaannya ulser akan sembuh dalam tempoh satu atau dua minggu. Tetapi sekiranya ulser itu tidak sembuh berkemungkinan seseorang berdepan kanser ini.
“Selain itu, gigi longgar yang disebabkan ketumbuhan pada bahagian gusi juga antara simptom kepada masalah ini,” jelasnya.
Tambahnya, rawatan untuk kanser kepala dan leher bagaimanapun masih terhad.
Menyedari akan hal itu, CRMY telah membangunkan vaksin kanser kepala dan leher.
Kue Peng menjelaskan, keberkesanan vaksin yang dibangunkan itu adalah untuk rawatan terapeutik dan bukan bagi mencegah.
Terangnya, vaksin ini hanya diberi apabila seseorang itu sudah didiagnosis berhadapan dengan kanser kepala dan leher.

KUE PENG sedang fokus dalam melakukan ujian pembunuhan sel.–FARIZWAN HASBULLAH
“Sebagai contoh, apabila seseorang itu berdepan masalah kanser mulut, untuk merawatnya adalah melalui pembedahan.
“Namun begitu, hampir 50 hingga 70 peratus kanser itu akan kembali selepas pembedahan kerana tidak semua sel kanser dapat dipotong keluar,” terangnya.
Oleh itu, pemberian vaksin ini amat penting kerana menghalang daripada sel-sel kanser ini kembali merebak.
Dalam bahasa mudahnya, vaksin itu berfungsi dengan menyasarkan sel-sel imun dan mendidik sel tersebut untuk mengenal pasti sel-sel kanser.
Kemudian sel-sel imun itu akan mematikan sel kanser berkenaan.
Sementara itu, Kue Peng menjelaskan, pasukan penyelidik juga sedang mengkaji vaksin tersebut untuk pencegahan.
“Vaksin ini masih belum diluluskan dan masih melalui kajian klinikal. Pembangunan vaksin akan melalui kajian klinikal fasa pertama pada akhir tahun 2022.
“Pada kajian klinikal di fasa pertama, vaksin ini akan diberikan kepada pesakit kanser tahap akhir untuk melihat sama ada vaksin ini selamat digunakan di dalam diri pesakit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Biologi Kanser Translasi CRMY, Prof. Dr. Cheong Sok Ching menjelaskan, apabila mereka membangunkan vaksin pada mulanya, mereka harus membuat kajian untuk mengenal pasti antigen terlebih dulu.
Menurutnya, setelah antigen yang unik kepada sel kanser ditemui barulah vaksin itu dibangunkan.
“Sekarang ini kita sudah mempunyai tiga generasi vaksin. Vaksin generasi pertama kita telah bangunkan sejak 2010.
“Selepas itu, kita menambah baik vaksin ini dan sekarang yang akan disuntik kepada pesakit adalah vaksin generasi ketiga,” jelasnya.
Sementara itu, kongsi Sok Ching, antara cabaran yang dihadapi untuk pembangunan vaksin itu adalah untuk mencari antigen yang unik kepada sel kanser.
Ini kerana, sel kanser merupakan sel yang normal pada asalnya tetapi telah menjalani perubahan atau mutasi lalu menyebabkan ia menjadi tidak normal.
“Kunci kepada kajian ini adalah apabila kita dapat membezakan sel normal dengan sel kanser.
“Ini penting untuk memastikan sel imun dapat membezakan antara sel normal dan sel kanser.
Apabila dapat mengenal pasti sel kanser, sel imun itu hanya akan menyerang sel kanser,” tuturnya.

KANSER kepala dan leher antara kanser yang sering dihidapi penduduk Asia termasuk Malaysia.–GAMBAR HIASAN
Dalam pada itu, tegasnya, vaksin kanser kepala dan leher ini masih dalam proses pembangunan dan belum dikomersialkan lagi.
Sok Ching berkata, pembangunan vaksin ini perlu mengikuti tiga laluan sebelum boleh dikomersialkan.
Menurutnya, fasa pertama adalah berkaitan keselamatan vaksin.
“Bagi fasa kedua, vaksin ini diuji untuk melihat keberkesanannya sama ada ia dapat mengurangkan pertumbuhan sel kanser atau tidak.
“Sementara itu, untuk fasa tiga adalah untuk melihat sama ada vaksin ini mempunyai fungsi yang lebih baik daripada rawatan sedia ada. Kini kita mempunyai rawatan kemoterapi dan imunoterapi,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya vaksin ini lebih baik berbanding rawatan yang sedia ada, maka ia akan diluluskan.
Kajian dilakukan oleh mereka juga mendapati gabungan vaksin dan imunoterapi memberi keberkesanan hampir 97 peratus dalam merencatkan atau mematikan pertumbuhan sel kanser.
Sementara itu, katanya, vaksin yang dibangunkan itu kini telah diberi lesen paten kepada syarikat bioteknologi yang berpangkalan di United Kingdom.
Tidak dapat dinafikan juga untuk pembangunan vaksin itu dana yang besar amat diperlukan.
Sok Ching memberitahu, pembangunan vaksin itu juga banyak dibantu oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) and Newton-Ungku Omar Fund (NUOF).
“Sebagai pusat penyelidikan, kita tidak mempunyai dana secukupnya untuk membangunkan vaksin ini dengan sendirinya sehingga tahap yang boleh dikomersialkan.
“Dalam aspek ini, MOSTI dan NUOF banyak memainkan peranan dalam memberi dana pada permulaan untuk kami melakukan kajian makmal bagi mengenal pasti antigen dan pembangunan vaksin ini sampai ke tahap praklinikal,” katanya.
Kejayaan dalam pembangunan vaksin ini membuktikan bahawa dengan dana dan kolaborasi sesuai, saintis Malaysia boleh menularkan kontribusi terhadap pembangunan rawatan bagi pesakit kanser.














