SETIAP orang mempunyai rahsia tersendiri untuk berjaya dalam hidup dan perniagaan yang diusahakan sehingga bergelar seorang jutawan.
Begitu juga dengan tokoh usahawan dan jutawan berasaskan kewangan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman juga ada rahsianya sendiri hingga berjaya menempatkan diri dalam dunia korporat di negara ini.
Melalui kolum Wawancara minggu ini, beliau bercerita tentang tip untuk berjaya dalam apa juga yang diusahakan dalam hidup termasuk menggunakan teknologi dan aplikasi sedia ada sebagai instrumen menghubungkan antara usahawan dengan pengguna di luar sana.
Selain itu, baginya, dalam kehidupan perlu sentiasa positif untuk melakar kejayaan gemilang.
————————————————————————————————————————————–
NAMA usahawan dan jutawan syarikat berasaskan kewangan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menjadi sebutan sejak kebelakangan ini susulan perkahwinannya dengan selebriti yang juga merupakan aktivis sosial, Heliza Helmi.
Ternyata, pemilik syarikat AUF MBZ Consortium itu juga merupakan individu yang cukup disegani lantaran berjaya membina nama dan empayar perniagaannya sendiri pada usia cukup muda.
Bagi berkongsi perjalanan dan pahit getir yang ditempuh dalam dunia perniagaan dan kerjayanya serta perkahwinannya yang berlangsung pada 1 Januari lalu, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Datuk Seri Mahadi di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Untuk mencapai tahap sebagai jutawan seperti yang Datuk Seri kecapi sekarang bukan mudah. Boleh ceritakan bagaimana Datuk Seri membina empayar perniagaan sehingga begitu terkenal bukan sahaja di negara ini, malahan di dunia?
MAHADI: Saya berkecimpung dalam dunia perniagaan berasaskan kewangan ini sejak usia muda sebaik menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara dalam bidang Sains Aktuari, tanpa sebarang pengalaman.
Ketika itu iaitu pada 2004, saya memasang impian yang mungkin kedengaran lucu iaitu mahu memperoleh gaji lebih tinggi daripada Perdana Menteri Malaysia.
Alhamdulillah, pada bulan kedua selepas terlibat dalam dunia perniagaan berasaskan kewangan dan pelaburan ini, saya berjaya menjana pendapatan sebanyak RM30,000.
Tanpa disangka, tahun sama pada Disember, saya berjaya menjana pendapatan sebanyak RM1 juta yang seterusnya menjadikan saya semakin bersemangat dan mahu menjana lebih tinggi sehinggalah berjaya mewujudkan satu empayar perniagaan yang dibanggakan.
Apa yang mendorong Datuk Seri untuk berkecimpung dalam dunia bisnes yang begitu mencabar ketika usia muda. Apakah cabaran terhebat pernah dilalui sepanjang bergelar ahli perniagaan seperti jatuh bangun, pahit manis dan sebagainya?
Sebagai manusia, kita semestinya tidak pernah terlepas daripada sebarang ujian. Apa yang boleh saya kongsikan, cabaran yang dihadapi adalah ketika mula-mula membangunkan perniagaan.
Ketika itu, saya tidak mempunyai kereta, hanya menaiki motosikal untuk ke sana sini.
Saya penah melalui fasa meredah hujan, cedera terjatuh daripada motosikal dan sebagainya.
Malah, sebagai seorang yang berkecimpung dalam dunia jualan langsung ini, saya kerap dimaki, dimarah dan ‘ditolak’.
Namun, saya bangkit daripada fasa itu apabila pada usia 24 tahun, saya menulis sebuah buku bertajuk Cara Terpantas Menjadi Jutawan dan salah satu topik di dalamnya adalah bertajuk Pahlawan Minda.
Isi kandungan buku itu mengajar kita tentang cara untuk bangkit semula selepas diuji.
Sebagai contoh, saya menggunakan perbandingan antara telur dan bola tenis.
Telur apabila terjatuh, ia akan pecah dan menjadi hancur, namun bola tenis apabila jatuh, ia akan melantun semula lebih tinggi.
Konsep ini perlu digunakan dalam kehidupan seharian yang mana apabila diuji seperti menerima rejection dan sebagainya, kita perlu bangkit dengan semangat baharu.
Contoh terdekat yang boleh digunakan adalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dilaksanakan, ramai usahawan berputus asa apabila diuji, menjadikan mereka semakin down.
Sebaliknya, mereka harus bangkit semula dan mencari cara lain untuk mengembangkan perniagaan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa.
Sejujurnya, semasa PKP awal tahun lalu, kami mencatat rekod baharu apabila syarikat mencatat jualan lebih RM500 juta.
Sepanjang terlibat dalam dunia ini, pencapaian tertinggi yang pernah dicapai adalah pada 2014 yang mana kami memperoleh RM190 juta.
Saya sendiri terkejut dengan pencapaian tersebut.
Rahsianya adalah kami menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Sebagai contoh, jika dahulu aplikasi Zoom tidak begitu digunakan, sebaik sahaja pelaksanaan PKP, kami menggunakan aplikasi itu bagi urusan perniagaan.
Saya perhatikan, ramai orang tidak mahu menyesuaikan diri dan menolak perubahan dengan memberikan pelbagai alasan seperti tidak biasa dan sebagainya.
Ini mungkin salah satu sebab mereka menganggap cabaran itu sesuatu yang berat untuk dipikul.
Selain itu, bagi saya dan pasukan pula, biarpun berdepan cabaran terpaksa bekerja dari rumah, kami masih tetap bersiap seperti biasa dan mengenakan pakaian pejabat, selain menaiki kenderaan biarpun hanya memandu di kawasan perumahan.
Hal ini kerana, biarpun nampak ringkas, namun secara psikologinya, ia menjadikan kita lebih bersemangat.

DENGAN kuasa Allah, perkenalan singkat membuka hati Mahadi untuk mengambil Heliza sebagai suri hatinya melalui satu ikatan yang sah.
Sepanjang berkecimpung dalam dunia bisnes, pernahkah Datuk Seri berasa putus asa dan tidak mahu lagi meneruskan perniagaan disebabkan mengalami kerugian dan sebagainya? Jika ada, bagaimana Datuk Seri mengatasinya dan bangkit semula untuk melakar kejayaan gemilang?
Sebagai manusia, ada ketikanya kita juga akan berasa putus asa apabila diuji, namun seperti dikatakan, saya sentiasa menyesuaikan diri untuk berubah.
Jadi, apabila berasa kecewa misalnya, saya melindungi minda daripada pemikiran negatif bagi mengelakkan diri semakin tertekan.
Contoh yang paling mudah adalah melalui perkataan.
Percaya atau tidak, setiap perkataan mempunyai ‘kuasa’ dan apabila perkataan negatif ditanam dalam minda, kita dengan mudah mempercayainya, sekali gus mengganggu mood dan prestasi harian.
Biasanya, jika stres, saya tidak akan tertekan lama kerana seperti yang saya katakan, menerusi kaedah pahlawan minda mengajar kita cara untuk bangkit selepas diuji.
Ramai yang ingin mengetahui tentang janggut rebonding yang dikatakan menjadi trade mark Datuk Seri. Boleh ceritakan sudah berapa lama menyimpannya dan cara-cara menjaganya agar ia kelihatan terurus?
Janggut saya mula tumbuh ketika berusia 25 tahun dan sejak itu, saya tidak pernah memotongnya.
Namun seperti apa yang netizen katakan, benar saya menggunakan kaedah rebonding pada janggut kerana mahu menjadikan ia tampil kemas memandangkan saya kerap berjumpa dengan ramai orang.
Malah saya akan meluruskannya setiap hari. Jika ditanya tentang penjagaan khusus, jujurnya saya tidak menggunakan produk tertentu seperti minyak dan sebagainya.
Bagi saya, minyak hanyalah satu bentuk pemasaran untuk melariskan produk. Saya hanya membiarkan ia tumbuh secara semula jadi.
Sebagai umat Islam, kita percaya doa adalah ‘senjata’ untuk berjaya. Dalam akaun media sosial, Datuk Seri kongsikan beberapa doa dan ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian untuk berjaya dalam apa jua diusahakan. Bagaimana untuk meyakinkan anak-anak muda masa kini supaya mengamalkannya sebagai motivasi dalam hidup?
Perkara paling asas untuk menarik sesuatu golongan untuk mengamalkan sesuatu doa adalah dengan mengetahui sebab ia dibaca dan kelebihan diperoleh apabila diamalkan.
Selain itu, saya berpegang kepada cara pendekatan digunakan bagi menyebarkan sesuatu doa.
Sebagai contoh, saya meletakkan video berisi doa ringkas dalam durasi maksimum satu minit di Instagram.
Ia cukup mudah dihafal dan diamalkan. Bagi mendekati golongan muda juga, saya mengambil pendekatan menampilkan gaya lebih mudah didekati.
Ramai terkejut apabila Datuk Seri mengakhiri zaman bujang dengan mengahwini selebriti yang juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi. Sejak bila mengenali isteri sebelum mengambil keputusan untuk dijadikan suri rumah tangga. Berapa lama Datuk Seri bercinta?
Kami mula berkenalan ketika mahu menyampaikan bantuan Ramadan kepada golongan memerlukan.
Ketika itu, saya mendapat tahu Heliza bersama adik perempuannya turut memberikan bantuan bersama agensi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.
Semuanya berlaku atas dasar kerja sehinggalah baru-baru ini, saya berkesempatan menunaikan umrah dan Heliza yang saya kenali, gemar mengirim doa kepada sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut.
Ketika itu, dia menghantar mesej peribadi di Instagram saya bersama kiriman doa.
Ketika membacanya di hadapan Kaabah, saya dapati, doa yang dikirim itu meminta supaya Allah memberikannya jodoh yang baik.
Secara kebetulan, saya juga turut berdoa di Jabal Rahmah agar diberikan jodoh yang baik. Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh kerana bimbang dengan usia yang semakin meningkat.
Ternyata, Allah telah menyusun semuanya dan alhamdulillah, kami disatukan selepas satu tempoh perkenalan singkat.
Sejujurnya, kami tidak bercinta seperti pasangan lain.
Insiden kami berasa malu untuk menyentuh antara satu sama lain ketika menyarungkan cincin itu bukanlah satu drama.

Apakah ciri-ciri yang ada pada Heliza membuatkan Datuk Seri jatuh hati padanya, adakah kelembutan atau sifatnya yang suka membantu orang lain?
Selain banyak terlibat dengan kerja-kerja kebajikan, Heliza merupakan seorang yang amat menggemari ilmu dan cukup suka bertanyakan pelbagai soalan kepada sesiapa yang ditemuinya.
Ini merupakan satu sifat yang cukup saya senangi padanya.
Datuk Seri pernah menerima beberapa anugerah berprestif sepanjang terlibat dalam dunia perniagaan seperti Top CEO Award 2004, Youngest Million Dollar Producer, Youngest Agency Manager (CIMB) dan yang terkini Anugerah The Jewels of Muslim World 2019. Adakah anugerah-anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk berjaya?
Bagi saya, anugerah semestinya merupakan satu pembakar semangat yang baik, namun tanpa anugerah sekali pun, saya akan tetap bersyukur dan akan terus melakukan yang terbaik dalam kerjaya ini.
Hal ini kerana biarpun anugerah itu membantu kita dikenali dan dihormati, namun di sisi Allah, kita semua adalah sama.
Boleh Datuk Seri berikan beberapa tip berguna kepada mereka yang di luar untuk berjaya dalam hidup, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengusahakan perniagaan dan ‘terjatuh’ teruk akibat pademik Covid-19?
Apa yang boleh saya kongsikan adalah pertama, jadikan ujian ini sebagai satu titik permulaan untuk muhasabah diri. Kemudian, cari tahu dari mana datangnya rasa putus asa akibat ujian itu, adakah datangnya daripada sikap kita atau sikap orang lain.
Sekiranya ia berlaku akibat sikap kita sendiri, maka nasihat saya adalah jadikan kegagalan itu sebagai satu cara untuk bangkit semula dan ubah strategi perniagaan. Apabila kita terjatuh, jangan jadi seperti telur yang terus pecah dan rosak tetapi jadilah seperti bola tenis yang melantun lebih tinggi apabila terjatuh.
Bagi saya, kegagalan itu sebenarnya tidak wujud, yang ada cumalah keputusan yang salah atau keputusan yang tidak dimahukan.















