TAWAU – Tiga beradik dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama enam individu lain karam dalam kejadian di kawasan perairan Kampung Batu Payung, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, bot berkenaan dipercayai cuba berpatah balik dari Kampung Rawa-Rawa sebelum karam.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, tiga beradik yang masih belum ditemui adalah Saiful Muhaimin, 14, Adam Muhaimin, 13, dan Saina Muhaimin, 12.
“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.45 petang.
“Maklumat awal yang diperolehi menyatakan terdapat sembilan orang mangsa berada di dalam bot berkenaan.
“Enam daripada penumpang berjaya diselamatkan orang kampung.
“Bagaimanapun, tiga lagi mangsa yang juga adik beradik masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – K! ONLINE












