PUTRAJAYA – Ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 adalah melibatkan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Sarawak.
KPM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya ingin merujuk kepada pertanyaan yang diterima mengenai pengoperasian institusi pendidikan di bawah seliannya di dua negeri tersebut yang akan beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 3 Januari ini.
“Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM di Kelantan akan bermula pada 9 Januari 2022 manakala Sarawak pula adalah pada 10 Januari 2022 dan pengoperasian serta kehadiran murid adalah mengikut ketetapan seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
“Ketetapan ini dibuat setelah mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan
Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, KPM akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat banjir di Kelantan dan Sarawak atau yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada 3 Januari ini setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.
“KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” jelasnya.-K! ONLINE