fbpx
Mohd. Hafiz menunjukkan salah satu baju-T yang dijualnya secara dalam talian ketika ditemui di rumahnya di Dungun, Terengganu semalam.

Bekas guru hidap bipolar kini peniaga berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Seorang pemuda yang terpaksa melupakan kerjayanya sebagai guru disebabkan mempunyai masalah kesihatan mental kini bangkit menjadi usahawan pakaian yang berjaya.

Mohd. Hafiz Almuhaimi Mohd. Halim, 31, yang menghidap pe­nyakit kemurungan ditamatkan perkhidmatannya sebagai guru setelah disahkan tidak lagi la­yak mengajar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran pada tahun 2015.

Menurut Mohd. Hafiz, sebaik diuji masalah kesihatan tersebut, dia yang merupakan lulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Rakit, Kuala Nerus dekat sini sedang berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah di Sarikei, Sarawak.

“Saya dikesan menghidap bipolar sejak berusia 17 tahun, namun berjaya mengawal penyakit ini selepas dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Permai, Tampoi di Johor.

“Saya menjalani rawatan psi­kiatri dan saya memperoleh keputusan cemerlang iaitu 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata­nya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kampung Ni­bong Stesen di sini semalam.

Bagaimanapun penyakit bi­polar yang dihidapi Mohd. Hafiz bagaimanapun berulang kembali dan ‘penyingkirannya’ sebagai guru membuatnya dia begitu kecewa kerana gagal mengikut jejak langkah bapanya yang juga pendidik.

“Waktu itu, saya kerap mendengar bisikan dan emosi juga cepat berubah. Kadang-kala saya menjadi individu yang terlalu banyak bercakap, terlampau teruja, mudah tertekan dan hilang fokus.

“Begitupun berkat sokongan keluarga dan rakan rapat, saya berjaya bangkit semula dengan memulakan perniagaan menjual pakaian kira-kira empat tahun lalu,” katanya.

Mohd. Hafiz memberitahu, perniagaan pakaian itu mendapat sambutan apabila dia mampu meraih pendapatan RM10,000 sebulan sehinggalah penularan wabak Covid-19 apabila terpaksa menutup sementara operasi di­sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memang agak tertekan, namun saya sentiasa mendapat sokongan padu daripada isteri, Siti Naimah Sidi Ahmad.

“Saya cuba bangkit semula dengan berniaga dari rumah dan menumpukan urus niaga secara dalam talian.

“Alhamdulillah, walaupun sukar, perniagaan semakin baik dan kini mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan,” katanya.

Tambah lelaki itu, kehadiran cahaya mata sulung, Nur Huwaina yang kini berusia setahun lapan bulan menjadi menguat semangatnya untuk meneruskan hidup biarpun kadangkala masih terpaksa berperang dengan pe­nyakit mental tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN