HONG KONG – Selepas hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, industri penerbangan terus terjejas teruk dengan lebih banyak syarikat penerbangan berada dalam keadaan semakin ‘parah’ sehingga mencetuskan pelbagai isu termasuk tekanan dalam kalangan kru penerbangan, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Syarikat penerbangan gergasi yang berpangkalan di Hong Kong, Cathay Pacific kini mendapat perhatian dunia apabila juruterbang-juruterbang syarikat itu dilaporkan berada dalam keadaan tertekan dan semakin ‘letih’ kerana bekerja di bawah sistem yang melaksanakan rejim kuarantin antara paling tegas di dunia.
Pernah dikenali sebagai antara majikan terbaik, Cathay Pacific kini bergelut dengan isu penurunan motivasi para pekerjanya, peletakan jawatan beramai-ramai serta keluhan para pekerja yang kecewa disebabkan pelbagai peraturan ketat berkaitan kuarantin.
“Motivasi kami semua sudah hilang. Hilang!
“Semua pekerja kini berasa marah,” kata seorang bekas juruterbang Cathay Pacific yang enggan mendedahkan identitinya.
Sama seperti syarikat-syarikat penerbangan lain, Cathay Pacific turut terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 yang telah melembabkan industri pelancongan tahun lepas.
Keadaan itu memaksa ia mengambil pelbagai langkah drastik termasuk membatalkan jadual-jadual penerbangan sehingga pada suatu masa, bilangan penumpangnya merudum sehingga 99 peratus.
Bagaimanapun, cabaran yang dihadapi syarikat tersebut mungkin adalah antara yang paling sukar dalam industri kerana Hong Kong masih melaksanakan strategi ‘sifar Covid’.

Sejak pandemik, Cathay Pacific telah melaksanakan langkah penerbangan ‘gelung tertutup’, khusus buat pekerjanya yang bertugas ke negara-negara yang diiktiraf sebagai ‘berisiko tinggi’ oleh pulau tersebut.
Di bawah sistem tersebut, juruterbang yang terbang selama beberapa minggu tidak dibenarkan meninggalkan bilik hotel mereka ketika tiba di destinasi, dan sekembalinya ke Hong Kong, mereka perlu menjalani kuarantin selama dua minggu lagi.
“Ini diikuti dengan dua minggu lagi kuarantin kendiri di rumah masing-masing,” kata beberapa juruterbang syarikat tersebut.
Mereka menyifatkan sistem penerbangan itu sebagai ‘melelahkan’ sehinggakan pihak syarikat terpaksa mewujudkan beberapa kumpulan sokongan terhadap pekerja yang terlibat bagi memelihara kesihatan mental mereka.
“Saya ada mengetahui mengenai beberapa juruterbang yang mengaku bahawa mereka sudah letih melakukan penerbangan tersebut. Mereka sudah tidak mampu melakukannya lagi kerana sudah letih dengan kuarantin,” tambah juruterbang yang lain.
Pada Oktober tahun lalu, Cathay Pacific melaksanakan langkah penstrukturan semula yang melibatkan pembuangan pekerjanya secara besar-besaran serta penamatan penerbangan serantaunya, Cathay Dragon.
Dalam satu kenyataan kepada CNN Business, syarikat itu menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil bagi melindungi seberapa banyak pekerja yang mungkin, serta memenuhi tanggungjawab terhadap hab penerbangan Hong Kong dan pelanggan.
“Juruterbang telah diminta untuk bersetuju terhadap syarat-syarat perkhidmatan baharu bagi menyelaraskan insentif terhadap produktiviti dengan lebih baik. Kira-kira 98.5 peratus juruterbang bersetuju.
“Ia merupakan kontrak yang berdaya saing bagi membolehkan kami terus merekrut dan mengekalkan staf-staf terbaik untuk bergelar juruterbang ketika syarikat ini perlu membina semula perniagaan ini,” kata kenyataan tersebut.
Bulan lalu, Cathay Pacific mengumumkan bahawa ia sedang mempertimbangkan untuk membenarkan beberapa juruterbangnya menetap di luar negara dalam satu pelan ‘senarai lanjutan’ yang membolehkan mereka ditempatkan di luar Hong Kong untuk tempoh dua bulan.
“Kami sedang meneroka pilihan-pilihan yang ada serta meninjau pendapat juruterbang (bagi melaksanakan langkah tersebut),” katanya. – AGENSI














