IPOH – Peranan kuda dalam membantu siasatan dan operasi Polis Diraja Malaysia dapat menyekat dan menghalang jenayah di sempadan daripada terus berleluasa.
Penganalisis keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, haiwan itu sangat relevan dan menjadi pilihan polis di dunia bagi melaksanakan pelbagai tugas.
Katanya, kuda merupakan elemen yang digeruni dalam peperangan zaman kuno yang digunakan oleh pasukan penggempur atau kalvari kerana kepantasan serta kekuatan untuk merempuh pertahanan musuh.
Menurut Muhammad Fuad, selain ciri fizikal, letak mata kuda yang berada pada kedua-dua sisi kepalanya membuatkan haiwan tersebut mempunyai pandangan yang lebih luas berbanding manusia.
“Posisi anggota unit berkuda pada ketinggian kira-kira tiga meter ketika berada di atas kuda pula memudahkan anggota untuk mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan selain lebih fleksibel berbanding anggota berkenderaan.
“Seorang anggota unit berkuda menyamai penugasan 10 orang anggota polis biasa,” katanya.
Tambahnya, di sesetengah negara barat, pihak polis menempatkan unit berkuda di kawasan tumpuan pelancong termasuk taman awam bagi mewujudkan rasa selamat kepada pengunjung.
“Di kawasan barat Australia pula, unit berkuda digunakan bagi operasi mencari dan mengesan orang hilang kerana keadaan muka bumi yang lebih sesuai dilalui kuda berbanding kenderaan,” katanya. -K! ONLINE














