KUANTAN – Minyak cenuai yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli di negeri ini turut mendapat permintaan daripada orang luar termasuklah golongan artis dan orang kenamaan (VIP).
Pengerusi Batin Pahang, Norya Abas berkata, minyak cenuai tulen dan buluh perindu menjadi rebutan kerana dapat memberikan kelebihan dalam kerjaya agar disukai oleh orang ramai.
“Saya dimaklumkan oleh penjual minyak cenuai, golongan ini tidak kisah berbelanja demi mendapatkan hajat yang diinginkan.
“Ada yang datang dari jauh mencari minyak ini, namun diingatkan bahawa ada juga yang jadi macam cerita P. Ramlee iaitu bomoh temberang yang menjual minyak cenuai bukan tulen.
“Biasanya bomoh yang membuat minyak yang tulen ini akan tanya tujuan pembeli sebab dia tidak mahu digunakan bagi menganiayai orang lain,” katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan minyak cenuai atau pengasih yang didakwa dihasilkan menggunakan sejenis tumbuhan di puncak Gunung Pandan dekat sini menjadi rebutan banyak pihak walaupun dijual pada harga RM800 sebotol.
Minyak berkenaan dijual kepada individu tertentu untuk menyelesaikan masalah rumah tangga dan berkaitan soal jodoh.
Tambah Norya, minyak cenuai Orang Asli didakwa memberi kesan sehingga seumur hidup kepada yang ‘terkena’ menyebabkan individu berkenaan begitu sayang kepada si pemakai.
Bagaimanapun katanya, kesannya minyak itu boleh hilang melalui perubatan termasuklah dengan kaedah mandi bunga dan mandi limau.
“Kalau tidak berubat sampai bila-bila pun tidak boleh berenggang, kasih sayang berterusan dan kita tahu keadaan orang yang kena (minyak cenuai) kerana dia punya sayang itu lain macam,” ujarnya. -K! ONLINE















