fbpx
Pendapatan pemandu teksi di Lembah Klang semakin merosot dengan pendapatan RM30 sehari. – GAMBAR HIASAN

‘Sampai bila boleh bertahan, nak dapat RM50 pun susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Tidak tahu sampai bila boleh bertahan. Hendak dapat RM50 sehari pun susah.”

Itu reaksi beberapa persa­tuan teksi Lembah Klang berhubung kesukaran yang dihadapi mereka dalam mendapatkan penum­pang sejak beberapa tahun lalu.

Seorang ahli persatuan teksi di Shah Alam dikenali sebagai Abdul Rahim berkata, ketika ini, kebanyakan pemandu dan pe­ngusaha teksi memperoleh RM50 hingga RM60 sehari.

“Jika dahulu kami mampu memperoleh RM200 hingga RM300 sehari. Pada hari minggu, kami dapat lebih sebab ramai yang keluar membeli-belah atau bersiar-siar.
“Namun, selepas adanya e-hailing dan bas percuma (sejak 2015), pendapatan kami mula terjejas. Ada ahli yang tak mampu membayar sewa kereta dan yuran persatuan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Warga emas itu memberitahu, keadaan bertambah teruk semasa musim pandemik Covid-19 apabila mereka hanya mampu meraih pendapatan kurang RM30 sehari, malah ada juga yang tiada pendapatan langsung.

Jelasnya, ramai rakannya terpaksa menyerahkan teksi kepada penyewa dan bertukar bidang menjadi pemandu lori dan bas untuk meneruskan hidup.

Tambah Abdul Rahim, sebelum ini, persatuannya mempunyai hampir 50 pemandu teksi, namun sehingga kini jumlah itu berkurangan kepada 23 orang.

“Ada beberapa rakan yang bercadang untuk berhenti sekiranya keadaan ini berterusan,” katanya.

Situasi sama turut dialami pemandu teksi di Subang Jaya dikenali sebagai Rahmat, 66, yang memberitahu, pendapatannya merosot 50 hingga 70 peratus sejak beberapa tahun lalu.

“Ramai rakan saya yang sudah beralih kepada e-hailing. Tapi bagi yang berusia seperti saya hendak guna telefon pintar pun ‘rumit’. Lagipun untuk menyertai e-hailing perlu ada kenderaan baharu.

“Selagi teksi saya masih boleh bergerak dan mempunyai penumpang, saya akan terus memandu teksi walaupun sudah tidak ‘semeriah’ seperti dahulu,” kata­nya bapa enam anak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN