KOTA BHARU – Kes kehilangan wang yang menghantui penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian di sini sejak Februari lalu akhirnya terjawab dipercayai angkara jin yang dikenali sebagai anak kerak.
Pengamal perubatan Islam, Sharifuddin Sulaiman, 53, berkata, perkara itu terbongkar selepas dia melakukan upacara bagi mengetahui punca kejadian yang menjadi tanda-tanya dalam kalangan penduduk sejak sembilan bulan lalu.
Katanya, makhluk halus yang mempunyai ciri-ciri fizikal seperti toyol itu dibela seorang penduduk di salah satu daripada tiga kampung tersebut bagi mendapatkan wang cara mudah.
“Anak kerak ini membantu tuannya mendapatkan wang dengan mudah. Pemilik anak kerak dipercayai sudah mengaut banyak hasil daripada kegiatan tarik duit tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Berita berkaitan: Toyol hitam berbulu buat onar, curi duit penduduk
Menurutnya, makhluk halus itu akan mengikut arahan tuannya sekiranya diarahkan untuk menarik duit milik penduduk kampung dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan pada waktu malam.
Bercerita lanjut, beliau yang dikenali sebagai Ustaz Din memberitahu, semasa melakukan perubatan, seekor anak kerak yang garang cuba mencuri duit penduduk, namun berjaya dihalang masuk ke dalam rumah di Kampung Pulau Raja di sini.
“Jika rawatan menghalau anak kerak berhasil, tuannya akan berasa sakit sekali gus tidak dapat melakukan aktiviti tarik duit buat sementara waktu.
“Setakat ini, penduduk Kampung Pulau Raja tidak lagi mengadu kehilangan wang selepas saya melakukan kaedah perubatan di salah sebuah rumah di kampung tersebut baru-baru ini,” katanya.
Berita berkaitan: Letak duit dalam coli pun tak selamat
Berita berkaitan: Toyol moden curi duit bakal pengantin
Tambah Ustaz Din, ada penduduk yang mendapat semula wang mereka yang hilang selepas kaedah rawatan dilakukan apabila pemilik anak kerak kepanasan dan berasa sakit.
Mengulas lanjut, Ustaz Din memberitahu, anak kerak boleh didapati dan dibeli pada harga RM500 hingga RM1,000 di negara jiran.
Tambah beliau, penjagaan anak kerak juga sukar kerana tuannya perlu memberi makan ayam mentah, daging lembu atau darah pada setiap minggu.
Kosmo! pada 20 Oktober lalu melaporkan kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian tidak dapat tidur lena sejak akhir-akhir ini apabila semakin kerap berlakunya kejadian wang tunai yang mereka simpan di dalam rumah tiba-tiba lesap.
Penduduk di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulai dan Kampung Polong di sini mendakwa, kehilangan wang itu dipercayai angkara perbuatan toyol yang menyelusup masuk ke rumah mereka pada waktu malam.
Sejak Februari lalu hingga kini, kira-kira 20 buah keluarga di tiga kampung terbabit mendakwa sudah menjadi mangsa apabila duit mereka hilang dalam sekelip mata dengan nilai tertinggi yang pernah lesap mencecah sehingga RM10,000.














