fbpx

Toyol moden curi duit bakal pengantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wang penduduk lesap dipercayai angkara toyol dalam kejadian terbaharu di Kubang Kerian, Kota Bharu.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

MINGGU ini kecoh dalam masyarakat setempat di Kubang Kerian, Kota Bharu yang mendakwa wang mereka lesap meskipun disimpan di dalam rumah.

Bukan hanya seorang, puluhan penduduk di tiga buah kampung di mukim tersebut iaitu Kampung Tok Kenali, Kampung Pulai dan Kampung Pulong mengalami nasib sama.

Apabila kejadian itu tular, baru terbuka pekung penduduk di tiga kawasan itu apabila kehilangan wang itu sebenarnya sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Berdasarkan cerita-cerita penduduk kampung, mereka bersepakat bahawa kehila­ngan wang itu dipercayai angkara perbuatan toyol yang dibela oleh penduduk.

Bukan mahu menuduh atau serkap jarang, dakwaan itu dilakukan oleh mereka selepas melihat kejadian sama berulang dan seolah-olah ada individu sudah menyasarkan rumah-rumah tertentu sebagai mangsa.

Setakat ini, paling banyak yang mengalami kerugian adalah seorang bakal pengantin apabila wang hantaran lesap.

Penduduk mendakwa, wang kertas RM50 dan RM100 sahaja yang hilang, manakala wang kertas lain masih berada di dalam keadaan baik di tempat simpanan wang mereka.

Ketika berbual dengan seorang penduduk di situ, dia seolah-olah sudah lali apabila kehilangan wang kertas RM50 sekali sebulan.

Misteri kehilangan wang itu dilihat semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan penduduk kampung tidak mahu memegang wang tunai di dalam tangan.

Pengerusi badan bukan kerajaan, Info Semasa Kubang Kerian (ISKK), Mohamad Afandi Mohamad, 37, berkata, ramai penduduk mengadu mengenai masalah tersebut yang tiada jalan penyelesaian sehingga kini.

Ujarnya, kes itu tidak dilaporkan kepada polis kerana tiada bukti rumah diceroboh.

“Dalam tempoh seminggu ini, saya sudah menerima sebanyak 30 aduan.

“Hebahan melalui media sosial dilakukan sebagai usaha agar individu yang memelihara toyol itu insaf dan bertaubat,” katanya.

Menurutnya yang popular dengan panggilan Fendi Kenali, dia mengakui bahawa penduduk di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulai dan Kampung Pulong hidup dalam ketakutan terutamanya pada waktu malam.

“Saya ada bertemu dengan beberapa orang mangsa. Mereka pada awalnya bersemangat untuk membuat laporan polis, namun akhirnya membatalkan niat itu.

“Akhirnya, saya mengambil inisiatif sendiri untuk menyuara­kan keluhan dan masalah mereka. Jika mereka terus berdiam, kejadian ini akan terus berlarutan dan itu amat merisaukan saya selaku penduduk di sini,” katanya yang juga penyanyi dikir barat.

Sementara itu, pengamal perubatan di Pusat Rawatan Islam Darul Suffah, Mohamad Aziz Che Man, 51, berkata, dia mele­takkan kemungkinan 95 peratus kejadian itu disebabkan oleh jin yang menyerupai toyol apabila kes sama turut berlaku di Pasir Puteh, Tanah Merah dan Jeli.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana ada dalam kalangan masyarakat Melayu membela jin yang menyerupai toyol untuk bekerja dan mencuri wang atau harta penduduk setempat.

“Saya berharap mangsa-­mangsa dalam kes itu kembali muhasabah mengenai punca wang atau harta yang berada dalam simpanan mereka.

“Jika wang atau harta itu tidak bersih puncanya dan tidak membayar zakat, ia lebih mudah untuk empunya toyol itu menyasarkan kita sebagai mangsa mereka,” katanya.

Tambah Mohamad Aziz, umat Islam perlu terus menjaga solat, wirid mengikut sunnah Rasulullah selain mengambil berat mengenai halal dan haram dalam urusan mencari harta merupakan pendinding bagi mengelakkan kita diganggu jin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI