fbpx
Hanif Yusabra Yusuf menunjukkan ubah suai yang dilakukan pada lori bagi membolehkan ia membawa lebih muatan pada Ops Tutup Khas di Nilai Impian, di sini, hari ini.

Lori ubah suai, bawa muatan lebih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Sebuah lori membawa muatan batu dikesan melakukan pengubahsuaian struktur badan bagi membolehkannya membawa lebih banyak muatan untuk satu perjalanan.

Ketika ditimbang dalam Ops Tutup Khas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini mendapati muatan dalam lori yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun itu melebihi 92 peratus, hampir menyamai muatan bagi dua lori.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam ops yang bermula sejak Isnin lalu itu, pihaknya menahan lori di Lebuhraya Utara- Selatan di sekitar Seremban, Nilai dan Port Dicksin yang didapati membawa muatan melebihi had sebelum kenderaan perdagangan itu dibawa ke Nilai Impian untuk ditimbang.

“Dalam operasi yang bermula pukul 7 pagi, pihak kami melakukan pemeriksaan terhadap 35 lori sebelum lapan daripadanya diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk muatan melebihi had. Sebanyak 28 notis dikeluarkan.

“Dalam pemeriksaan ini juga, pihak kami mengesan lori yang membuat penambahan pada pagar dan lantai bagi membolehkan lebih banyak muatan dapat dibawa. Ini satu kesalahan mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, Kesalahan Teknikal bagi Kenderaan Perdagangan (Ubah Suai Struktur dan Kelengkapan Kenderaan Tanpa Kebenaran),” katanya.

Jelas Hanif Yusabra, pihaknya mengesan taktik digunakan pemilik lori berkenaan sudah banyak dilakukan dan ia membahayakan pengguna jalan raya lain bukan sahaja dibimbangi muatan akan terkeluar dari lori, malah dikhuatiri hilang kawalan.

“Berat dengan muatan (BDM) yang tertera pada lori berkenaan hanya dibenarkan 23,500 kilogram (kg), namun selepas ditimbang BDMnya adalah seberat 45,290 kg iaitu melebihi had sebanyak 92 peratus,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang Januari sehingga Oktober 2021, sebanyak 39,692 kenderaan berat diperiksa dan sebanyak 25,150 kesalahan dikesan menerusi Ops Tutup Khas di seluruh Negeri Sembilan.

“Kesalahan membabitkan lebih muatan adalah tertinggi iaitu sebanyak 6,972 kes dan diikuti kesalahan teknikal sebanyak 6,799 kes.

“Bagi kesalahan membawa lebih muatan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010, boleh dikenakan hukuman denda mengikut Seksyen 57(3) akta sama,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN