GEORGE TOWN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar kejayaan besar apabila menumpaskan sebanyak 144 sindiket dadah pada tahun ini iaitu mengatasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
Ketua Polis negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kejayaan bagi tempoh Januari hingga Julai itu berikutan komitmen besar yang dipamerkan pasukannya biarpun dalam keadaan kekangan jumlah pegawai.
“Kejayaan paling besar apabila JSJN melumpuhkan 114 sindiket dadah walaupun KPI kita sebanyak 30 untuk tahun ini.
“Ancaman penyalahgunaan, pengedaran, penjualan, pengimportan dan pengeksportan dadah itu dilihat amat serius,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Majlis Mesyuarat Ketua JSJN se-Malaysia di sini.
Abdul Hamid berkata, pihaknya turut berusaha untuk menambah pegawai di jabatan itu bagi berdepan ancaman dadah di negara ini yang semakin bertambah.
“Saya akan merayu bagi pihak PDRM untuk diberi kelonggaran menambah perjawatan ini yang ketika ini mempunyai kira-kira 5,000 petugas.
“Kalau ikutkan realitinya, JSJN memerlukan 16,000 orang dan barulah kita boleh jalankan tindakan dengan lebih efektif“, katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 13 buah makmal dengan melibatkan 43 tangkapan selain melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM245 juta. – K! ONLINE














