fbpx

Suami ‘hero’ tumpaskan peragut terima penghargaan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd. Hanif atas keberanian menumpaskan peragut beg isterinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa hari ini.

KOTA BHARU – Keberanian seorang suami yang merempuh motosikal sebelum bergelut dengan peragut beg isterinya pagi kelmarin tidak sia-sia apabila Polis Diraja Malaysia Kelantan menganugerahkan surat penghargaan kepada lelaki berkenaan.

Mohd. Hanif Hilmi, 29, berkata, dalam kejadian itu, dia mengalami kecederaan pada bahagian telinga kirinya selepas digigit peragut itu yang cuba melarikan beg isterinya.

Menceritakan detika kejadian, menurutnya, suspek cuba meloloskan diri apabila menekup hidungnya sewaktu berlaku pergelutan antara mereka.

“Saya cuba bertahan dengan terus memegang suspek sebelum dia menggigit telinga. Mujur ada orang awam yang berada di situ dengan segera membantu saya menangkap suspek.

“Saya tidak menyangka tindakan menangkap peragut ini mendapat perhatian dan penghargaan polis. Sebagai suami, saya akan bertanggungjawab untuk mempertahankan isteri tidak kira dalam apa jua keadaan,” katanya.

Mohd. Hanif berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Surat penghargaan itu dianugerahkan kepada Mohd. Hanif atas keberaniannya membantu pihak polis menangkap suspek dalam kejadian di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai di sini kelmarin.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, tindakan pan­tas seorang lelaki merempuh motosikal yang ditunggang pera­gut berjaya menyelamat beg iste­rinya daripada dilarikan suspek.

Kejadian pada pukul 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 29 tahun yang merupakan seorang pembantu perubatan baru tu­run dari bas ekspres dan sedang menunggu ketibaan suaminya sebelum diragut suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, beliau memuji keberanian Mohd. Hanif yang turut membantu pihak polis menyelesaikan kes jenayah ragut di negeri ini.

Menurutnya, dengan penangkapan suspek, beliau percaya polis telah menyelesaikan beberapa kes samun dan ragut yang berlaku di negeri ini sejak tujuh tahun lalu.

“Siasatan mendapati, suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan ragut menggunakan modus operandi sama dengan menjadikan wanita berseorangan di kawasan stesen bas dan perhentian bas sebagai mangsa.

“Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine dipercayai bergerak sendirian semasa melakukan kegiatan samun,” katanya.

Tambah Shafien, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Sek­syen 392 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berba­haya 1952. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI