fbpx

Ronaldo sertai latihan pertama United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO menjalani latihan bersama skuad utama United selepas tamat tempoh kuarantin kelmarin. – MANCHESTER UNITED

MANCHESTER – Penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo nampaknya tidak perlu menunggu lama untuk menyertai latihan bersama rakan-rakan sepasukan baharunya selepas selesai menjalani tempoh kuarantin kelmarin.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu dilihat cukup gembira untuk kembali menjalani latihan bersama United selepas 12 tahun meninggalkan kelab berkenaan dengan berkelana menyertai Real Madrid dan Juventus.

Kapten skuad antarabangsa Portugal itu kembali ke pangkuan United selepas meninggalkan Juventus menerusi yuran perpindahan dianggarkan bernilai £19.8 juta (RM113.43 juta) dengan kontrak selama dua tahun.

Memandangkan Ronaldo, 36, sudah mula berlatih bersama skuad utama The Red Devils, dia dijangka mampu mendapatkan tahap kecergasan penuh dan membentuk keserasian menje­lang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United di Old Trafford pada Sabtu ini.

Sebelum menyertai latihan, Ronaldo sempat mengadakan pertemuan terlebih dahulu de­ngan pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer sebelum diperkenalkan secara rasmi kepada barisan kejurulatihan pasukan di pusat latihan di Carrington.

RONALDO (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukan baharunya. – MANCHESTER UNITED

“Saya memiliki sejarah yang cukup hebat dengan pasukan ini. Saya menyertai pasukan ini ketika berusia 18 tahun dan sekarang kembali selepas meninggalkan United pada 2009.

“Ini adalah keputusan terbaik pernah saya lakukan. Saya sangat gembira dan tidak sabar untuk mencatat sejarah baharu bersama United. Saya akan cuba sedaya upaya membantu pasukan ini untuk memenangi trofi,” ujar Ronaldo.

Sementara itu, Jesse Lingard dikatakan menolak tawaran lanjutan kontrak baharu bersama United kerana bimbang kedudukannya bakal tergugat selepas kehadiran semula Ronaldo di Old Trafford. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI