fbpx

Melaka tingkat jumlah jemaah 500 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan FOTO DIYANATUL ATIQAH

MELAKA – Kerajaan negeri ini meningkatkan jumlah jemaah kepada 500 orang bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah di masjid kerajaan, bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan baru itu dibuat mengikut keadaan peralihan fasa terkini Melaka yang telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelasnya, jumlah jemaah bagi aktiviti pengimarahan itu bagaimanapun terhad mengikut kepada keluasan masjid dengan mengekalkan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Contohnya jika masjid itu hanya mampu memuatkan 300 jemaah dengan penjarakan, maka jumlah maksimum 300 orang adalah terpakai.

“Bagi masjid kariah dan institusi pula, maksimum 200 orang yang terdiri daripada pegawai masjid dan jemaah dengan kaedah yang ditentukan oleh jawatankuasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, bagi surau, jumlah maksimum dibenarkan adalah 100 orang terdiri daripada pegawai surau dan jemaah dengan kaedah yang ditentukan oleh jawatankuasa.

Jawatankuasa juga hendaklah memastikan ventilasi dan sistem pengudaraan yang baik di masjid dan surau bagi mengelakkan risiko jangkitan.

Dalam pada itu, Che Sukri berkata, aktiviti lain yang dibenarkan hanyalah pengurusan dan solat jenazah dan majlis akad nikah sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JAIM.

“Kuliah Maghrib pada waktu antara Maghrib dan Isyak, kuliah Subuh pada waktu selepas solat Subuh dalam tempoh waktu yang bersesuaian, dan tazkirah atau bacaan Yasin sebelum solat Jumaat turut dibenarkan.

“JAIM juga memberi kelonggaran jemaah mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil pada waktu antara Maghrib dan Isyak pada hari Khamis malam Jumaat serta aktiviti singgah solat di masjid dan surau,” katanya.

Ujarnya, bagaimanapun aktiviti kuliah Maghrib, kuliah Subuh dan tazkirah yang dibenarkan hanya boleh disampaikan oleh tenaga pengajar tempatan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI