fbpx

Sultan Selangor dukacita guru, jurunikah enggan ambil vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila 112 individu termasuk guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini enggan menerima suntikan vaksin.

Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan mereka bukan sahaja akan membahayakan diri mereka sendiri malah orang ramai termasuk boleh memudaratkan para pelajar.

Titah baginda, berdasarkan laporan terperinci diterima daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.

Bagi pegawai masjid pula didapati seramai 59 orang belum menerima vaksinasi dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian selain sembilan orang jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin.

“Golongan itu sepatutnya mengetahui bahawa suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang yang dijangkiti dengan virus Covid-19 daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.

“Malah, Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin. Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah mereka yang masih berdegil dan enggan menerima vaksin berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Justeru, Sultan Sharafuddin berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan baginda difahamkan terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor enggan divaksin.

“Sukacita, Beta mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.

“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan,” titahnya.

Baginda turut mengingatkan Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

“Justeru itu, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin. Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan-kenyataan akhbar yang Beta keluarkan.

“Beta menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat sekelilling,” titahnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI