PETALING JAYA – Budaya memilih untuk mati bersendirian tanpa diketahui orang lain termasuk ahli keluarga sendiri mula menyusup ke negara ini melibatkan golongan tidak kira tua atau muda.
Budaya yang dikenali sebagai ‘kodokushi’ itu merupakan istilah merujuk kes individu di Jepun yang memilih untuk menamatkan riwayat dalam keadaan sedemikian.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, budaya itu merupakan salah satu tanda kemurungan.
Katanya, salah satu tanda kemurungan ialah individu memilih untuk menyendiri kerana tidak tahu untuk meluahkan perasaan dan bercampur dengan orang.
“Kes seumpama ini mula menular dalam kalangan orang muda dan akan berakhir dengan kematian jika tidak dikesan lebih awal.
“Ditambah pula dengan tekanan hidup, faktor kewangan dan kehilangan kerja antara menjadi punca mereka memilih untuk hidup bersendirian,” katanya.
Menurut Dr. Hanafiah, pelbagai langkah boleh diambil untuk mengatasi masalah itu seperti menyalurkan bantuan dari segi makanan, wang serta sokongan mental dan fizikal.
“Semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menjaga tanggungjawab sosial dan dalam masa sama, saya turut menyokong tindakan menaikkan bendera putih sebagai salah satu cara mendapatkan bantuan.
“Sampai masanya pemimpin menunjukkan tanggungjawab membantu individu terjejas bukan mempertikaikan tindakan mengibar bendera putih,” katanya.
















