fbpx
Yahaya Hassan (dua dari kanan) menunjukkan 89 paket minuman berperisa buah yang dicampur dadah yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

Bungkus, edar dadah guna peket minuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang lelaki ditahan bersama 89 peket minuman berperisa buah yang dicampur dengan serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Medan di sini Jumaat lalu.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki itu ditahan di hadapan lif kondominium berkenaan bersama satu bungkus beg plastik berisi empat peket minuman perisa buah yang disyaki dicampur dadah.

Katanya, pemeriksaan pada kereta jenis Proton Saga yang diparkir di ruang letak kenderaan menemui 20 peket minuman berisi dadah yang disimpan dalam kotak pada bahagian bonet.

“Kita juga menyerbu rumah suspek di kondominium sama dan menjumpai 65 peket plastik yang disyaki berisi serbuk campuran dadah jenis ekstasi.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 5,670.1 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM187,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, dalam serbuan tersebut pihaknya turut merampas peket-peket plastik kosong dan alat membungkus dadah berkenaan.

Beliau berkata, lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes dadah itu dipercayai mendapat bekalan dadah dari luar Perak dan melakukan aktiviti memproses serta membungkus bahan tersebut di rumah sewanya.

“Risikan ke atas suspek telah dijalankan sejak sebulan lalu dan dipercayai dadah tersebut untuk pasaran Ipoh dan dijual di pusat-pusat hiburan.

“Kita juga percaya terdapat individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

Suspek direman selama enam hari bermula Sabtu lalu hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI