fbpx
PEKERJA Malaysia di Singapura makin tertekan selepas rumah tangga bergolak. - GAMBAR HIASAN

Isteri curang akibat kesunyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sudahlah tidak boleh balik ke Malaysia, isteri yang ditinggalkan pula buat perangai apabila bersikap curang dengan suami.

Itu dilema yang terpaksa ditanggung segelintir pekerja Malaysia yang kini dilaporkan terkandas di Singapura selepas kedua-dua negara menutup pintu sempadan masing-masing ekoran penularan pandemik Covid-19.

Kegusaran dan kebimbangan turut dirasai oleh pekerja ber­kenaan apabila harapan untuk berulang-alik merentas sempadan negara melalui Tambak Johor dan Lebuh Raya Linkedua seperti sebelum ini masih belum menampakkan sebarang sinar.

Difahamkan, terdapat lebih kurang 100,000 rakyat Malaysia kini berada di Singapura sama ada sedang bekerja ataupun hidup melarat selepas dibuang kerja.

Ahli Sukarelawan Badan Bukan Kerajaan (NGO) 1Thirdmedia Movement, Farrah Diyana Mohamad Ali mendedahkan, ada dalam kalangan mereka terpaksa melalui detik sukar terutama bagi yang telah berumah tangga apabila pasangan yang berada di tanah air membuat onar dengan orang ketiga.

RAMAI pekerja Malaysia yang mencari rezeki di Singapura tidak dapat pulang ke tanah air sejak tahun lalu ekoran penutupan sempadan akibat penularan Covid-19.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima, terdapat suami atau isteri yang ditinggalkan telah bertindak curang hanya kerana pasangan mereka sudah lama tidak pulang ke pangkuan keluarga.

“Kami mengendalikan pelbagai urusan kebajikan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura termasuk berperanan sebagai penasihat selain menguruskan pergerakan mereka untuk pulang ke tanah air.

“Rata-rata yang datang berjumpa kami telah berkongsi cerita sedih dan tekanan hidup mereka sehingga ada yang sanggup untuk menamatkan riwayat hidup atau mahu membunuh diri.

“Ada beberapa kisah yang agak menyedihkan apabila si suami mendapat tahu dan mula curiga dengan sikap isterinya yang agak dingin dan te­lah berubah.

“Selepas disiasat, rupanya si isteri telah memiliki teman hidup baharu hanya kerana si suami lama tidak pulang ke tanah air,” ceritanya.

Farrah Diyana berkata, isteri kepada lelaki itu turut memberi pelbagai alasan kononnya suami nya sudah tidak mempedulikan keluarga dan anak-anak.

Jelasnya, keadaan ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada lelaki berkenaan sehingga sukar memberi tumpuan dalam pekerjaan selain sentiasa rasa tertekan.

“Selain itu, terdapat juga pasangan yang suka-suka mencari skandal semata-mata untuk mengisi kesunyian hidup yang dilalui selepas tidak dapat berjumpa dengan suami atau isteri yang berada di Singapura.

“Kita juga banyak terima a­duan atau luahan, ada yang siap pasang wanita atau lelaki lain. Suami atau isteri yang kerja di sini makin tertekan, nak balik, kos agak tinggi sehingga mence­cah ribuan ringgit. Akhirnya, terpaksalah mereka telan pahitnya.

“Ada juga pasangan yang siap membuat ugutan untuk bercerai jika suami atau isteri tidak pulang ke Malaysia dengan segera,” dedahnya lagi.

Farrah berkata, hasil pemerhatian yang dibuat, pasangan muda yang berusia antara 20-an hingga 35 tahun antara pasangan yang sering berdepan dengan masalah ini.

“Kami di 1Thirdmedia Movement bertindak selaku NGO untuk memberi ruang kepada mereka berkongsi tekanan dan dalam masa yang sama memberi bantuan nasihat agar mereka terus kuat untuk menghadapi dugaan hidup ini,” jelasnya.

 

Keluarga bergolak, isteri merajuk sampai sekat panggilan telefon

 

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja tempatan yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran di Singapura mengakui me­ngalami tekanan perasaan selepas berdepan masalah rumah tangga akibat perselisihan faham dengan isterinya.

Zain, 29, (bukan nama sebenar) berkata, situasi itu timbul selepas isterinya yang berusia 25 tahun berkeras memintanya untuk pulang ke Malaysia dan ­bekerja di tanah air.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, dia masih belum bersedia untuk pulang ke tanah air ekoran pandemik Covid-19, selain bimbang dengan peluang pasaran kerja yang ditawarkan di Malaysia.

“Saya tak balik sejak Mac tahun lalu ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga pintu sempadan ditutup sampai sekarang.

“Isteri saya pada mulanya boleh bertahan, tetapi sejak beberapa bulan lalu, dia mendesak supaya saya balik dan cari kerja di Johor Bahru.

“Tidak cukup dengan itu, dia juga ugut untuk minta cerai kalau saya tidak tunaikan permintaannya untuk pulang ke Malaysia.

“Puas saya jelaskan, nak balik boleh tapi kerja dekat Johor Bahru pun susah nak dapat,” katanya kepada Kosmo! semalam.

PEKERJA Malaysia di Singapura kini dihimpit pelbagai tekanan untuk memilih kerjaya ataupun hubungan kekeluargaan. – GAMBAR HIASAN

Zain berkata, ekoran perselisihan faham itu, isterinya bertindak menyekat panggilan serta nombor telefonnya sehingga wanita itu gagal dihubungi.

Katanya, dia kini hidup dalam tertekan sebelum berjumpa dengan rakan-rakan selain badan bukan kerajaan (NGO) di Singapura untuk mendapatkan nasihat.

“Saya terlalu tertekan, sekarang terpaksa mengambil ubat yang disyorkan untuk mengawal tekanan yang dihadapi.

“Bagaimanapun, saya ber­syukur apabila masalah ini mula menunjukkan tanda positif apabila pihak keluarga campur tangan dan sedia menyelesaikan isu ini,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN