fbpx

Dakwaan pasangan dipukul polis disiasat secara telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman CCTV yang memaparkan pasangan itu ditahan pasukan BSJN pada 25 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus berkenaan dakwaan pasangan suami isteri bahawa mereka dipukul sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju yang tular di media sosial semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, satu kertas inkuiri polis dibuka bagi menyiasat tindakan pasukan itu sama ada mengikut peraturan serta undang-undang atau sebaliknya.

“Siasatan secara terperinci dan telus akan dilakukan dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM,” ujarnya sebentar tadi.

Menurut beliau, pihak PDRM telah terkesan dengan satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama Gan Gong yang mengandungi gambar serta laporan polis yang mendakwa pasukan berkenaan telah mencederakan dan mengasari isterinya.

“Hasil semakan polis mendapati, pada 25 Julai lalu kira-kira pukul 4.40 petang, pasukan BSJN telah menjalankan serbuan di sebuah rumah di kawasan Setapak, bagaimanapun pasangan itu telah melalukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit bagi mendapatkan perhatian penduduk sekitar.

“Pasangan itu juga enggan memberikan kerjasama dan telah menghalang polis daripada menjalankan tugas sehingga telah berlaku pergelutan antara kedua-dua pihak,” ujarnya sebentar tadi.

Jelasnya, kedua-dua suspek yang berumur 41 tahun dan 31 tahun terbabit telah dibawa ke pejabat BSJN IPD Wangsa Maju untuk menjalani ujian saringan air kencing dan suspek lelaki positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek wanita pula negatif.

“Kedua-dua suspek turut ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan direman selama dua hari.

“Bagaimanapun, sebaik dibebaskan dengan jaminan polis, pada 31 Julai lalu kira-kira pukul 2.32 petang, pasangan tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Setapak dengan menuduh bahawa mereka telah dipukul oleh pasukan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI