GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin memberi amaran kepada dunia agar segera mengekang varian Delta Covid-19 sebelum ia bermutasi semula dan menjadi sesuatu yang jauh lebih buruk.
Menurut WHO, varian yang sangat mudah berjangkit dan pertama kali dikesan di India itu kini muncul di 132 buah negara.
“Varian Delta adalah amaran bahawa virus ini berevolusi. Ia menjadi peringatan bahawa kita perlu bertindak sekarang sebelum varian lebih berbahaya muncul,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan pada sidang akhbar.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pula menambah: “Setakat ini, empat varian membimbangkan telah muncul dan akan ada varian lain selagi Covid-19 terus menular.” katanya.
Tambahnya, secara purata, jangkitan Covid-19 meningkat 80 peratus sejak empat minggu lalu di lima daripada enam rantau di bawah pengawasan WHO.
Walaupun Delta telah menggemparkan banyak negara, Ryan memberitahu, langkah-langkah sedia ada untuk mengekang jangkitan masih berkesan khususnya amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, sanitasi tangan dan mengelakkan tempat tertutup tanpa sistem pengudaraan yang baik.
“Semua langkah ini dapat menghentikan varian Delta terutama apabila kita juga melaksanakan program vaksinasi,” katanya.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu secara konsisten meminta supaya vaksin diagihkan secara adil ke seluruh dunia dan menganggap ketidaksamaan agihan vaksin yang berlaku sebagai ‘tidak bermoral’.

Lebih empat bilion dos vaksin Covid-19 kini telah diberikan di seluruh dunia setakat ini, demikian menurut angka yang dikumpulkan agensi berita AFP.
Di negara-negara yang dikategorikan sebagai berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia, 98 dos suntikan vaksin telah diberikan kepada setiap 100 penduduknya.
Angka itu menurun kepada 1.6 dos dalam setiap 100 penduduk di 29 negara berpendapatan paling rendah di dunia.
“Sekiranya empat bilion dos ini diberikan sama rata kepada golongan berusia lebih daripada 60 tahun di dunia ini, kita pada dasarnya boleh melengkapkan dua dos suntikan kepada setiap orang yang berisiko tinggi mengalami simptom serius jika dijangkiti varian Delta,” kata ketua skim Covax, Bruce Aylward.
WHO sebelum ini mahu setiap negara memberi pelalian kepada sekurang-kurangnya 10 peratus penduduknya menjelang hujung September ini.
Beliau berkata, lebih separuh daripada 194 negara anggota WHO telah memvaksinasi sepenuhnya 10 peratus populasi mereka manakala kurang 25 peratus telah mencapai pelalian 40 peratus dan hanya tiga negara mencapai kadar vaksinasi 70 peratus.
Setakat ini Burundi, Eritrea dan Korea Utara yang belum memulakan kempen vaksinasi Covid-19.
Sementara itu, satu laporan daripada beberapa dokumen yang diterbitkan oleh Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) mendapati varian baharu tersebut boleh membunuh lebih daripada satu pertiga individu dijangkiti dan ia berbahaya seperti wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah.
Dalam beberapa keadaan, ia boleh membunuh sehingga 35 peratus daripada individu yang dijangkiti dan kebal daripada vaksin sedia ada sekiranya ia bergabung antara varian Alpha, Beta atau Gamma.
Dalam pada itu di Indonesia, Presiden Joko Widodo berkata, kemunculan dan penularan varian Delta telah memaksa Indonesia melaksanakan perintah sekatan aktiviti masyarakat darurat.
Koronavirus telah membunuh sekurang-kurangnya 4.2 juta orang sejak Disember 2019 manakala hampir 196.6 juta kes telah direkodkan setakat ini.














