fbpx

Bantu para ibu dengan hasilkan biskut laktasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BISKUT laktasi yang dihasilkan Zarina (kiri) dibuat daripada bahan-bahan semula jadi bagi membolehkan ibu yang menyusu menambah susu mereka.

“SAYA mahu membantu golongan ibu memberikan penyusuan eksklusif kepada anak-anak mereka,” ungkap Zarina Zul Mukhshars, 37, kepada Aura penuh tekad.

Atas kesedaran itu, anak kedua daripada tiga beradik tersebut terus mengusahakan perniagaan biskut laktasi untuk menambah susu badan yang dikenali sebagai Mom More Milk sejak tahun 2012 lagi.

Menceritakan lebih lanjut mengenai perusahaan itu, graduan pemasaran dari University of Technology Sydney, Australia berkata, idea menjual biskut laktasi ini bermula secara spontan selepas dia menghasilkan biskut laktasi pertamanya untuk dihadiahkan kepada seorang kenalan yang baru sahaja dikurniakan cahaya mata.

“Pada waktu itu, seorang kenalan rapat baru melahirkan anak. Entah bagaimana saya terfikir untuk menghadiahkan biskut laktasi yang dihasilkan sendiri.

“Pada waktu itu, saya banyak merujuk laman web luar negara memandangkan sekitar 2012, penggunaan biskut laktasi sebagai alat penambah susu badan masih lagi asing buat ibu-ibu di negara ini. Di luar negara, ia memang sudah begitu popular,” katanya.

Jelas Zarina, kebanyakan ibu di negara ini menggunakan makanan asli seperti lobak putih, sawi, telur, durian, telur dan lain-lain untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun, hasil daripada bahan bacaan mendapati penggunaan bahan-bahan laktogenik seperti oat, flaxseed (biji rami) organik, germa gandum, malt, alfalfa, halba dan kurma juga berupaya merangsang pengeluaran susu,” katanya.

ZARINA menghasilkan biskut laktasi dengan pelbagai perisa sesuai dengan variasi cita rasa para ibu.

Ibu kepada dua cahaya mata ini kemudian mencampurkan ramuan-ramuan semula jadi tersebut dan dijadikan biskut laktasi berperisa yang dinamakan Oats & Hershey’s Chocolate Chips.

Lebih menarik apabila dia turut mempelbagaikan makanan penggalak susu dengan memperkenalkan brownie laktasi yang turut menggunakan seratus peratus bahan semula jadi.

Siapa sangka, magis daripada air tangannya itu menjadi apabila rakan-rakannya melihat perubahan dalam penghasilan susu sebaik memakan biskut yang dihasilkan Zarina.

Sejak itu, biskut laktasi yang dihasilkan mula mendapat permintaan tinggi. Ini mendorong wanita ini untuk menjual hasil air tangannya itu secara online.

Bermula dengan membakar biskut laktasi di kediaman keluarganya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor, Zarina kemudian berpindah ke sebuah premis yang lebih besar dan selesa di Puchong.

Ironinya, ketika pertama kali menghasilkan biskut itu, dia hakikatnya masih belum mempunyai anak.

Namun, atas dasar mahu membantu golongan ibu yang memerlukan, Zarina komited meneruskan penghasilan biskut produksi tersebut hingga kini.

Melihatkan kesungguhan Zarina dan caranya berkomunikasi, jelas terbukti ibu kepada empat orang anak ini mempunyai ilmu yang mendalam mengenai dunia keibubapaan.

Ilmu penyusuan

Akui Zarina, dia gemarkan natural parenting (kaedah keibubapaan secara semula jadi). Sebelum bergelar ibu, dia banyak mendalami ilmu natural parenting meliputi pemakanan, kelahiran semula jadi dan sebagainya.

Berbicara mengenai masalah yang sering dihadapi oleh golongan ibu muda hari ini, kurangnya kesedaran dan ilmu penyusuan menyebabkan mereka gagal memberikan susu kepada si kecil sehingga tempoh dua tahun.

“Saya selalu mendengar keluhan para ibu apabila mereka mengunjungi gerai kami di ekspo. Disebabkan itu juga andai diberi kesempatan, saya sentiasa ingin berkongsi dengan orang ramai tentang ilmu penyusuan.

“Mungkin ramai terlupa penyusuan bermula sebaik saja anak dilahirkan. Sentuhan kulit ke kulit sebaik saja bayi diletakkan di atas dada ibu sebenarnya sudah menyebabkan pengaliran oksitosin, sekali gus memberitahu bayi sudah bersedia untuk menyusu.

“Selalunya, mereka berjaya memberikan bayi susu ibu sewaktu berpantang. Bagaimanapun, apabila sudah bekerja dan berdepan pelbagai tekanan, penghasilan susu terganggu sedikit demi sedikit. Seterusnya menyebabkan mereka tidak mampu meneruskan penyusuan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, setidak-tidaknya dengan biskut yang dihasilkan itu, dapatlah mempermudahkan golongan ibu berkerjaya mengamalkan makanan penggalak susu tanpa perlu bersusah-payah memasak bahan-bahan di dapur.

Zarina berasa bertanggungjawab untuk berkongsi ilmunya dengan golongan ibu untuk dimanfaatkan bersama.
Lantaran itu, bukan sekadar menjual produknya, Zarina turut berkongsi maklumat mengenai ilmu penyusuan buat golongan tersebut menerusi laman web mommoremilk.com yang dibangunkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI