fbpx
Hamidah berharap Zulfiqar kembali sedarkan diri dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhan anaknya.

‘Zulfiqar makin kritikal, doakan moga ada keajaiban’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – “Keadaan Zulfiqar semakin kritikal. Kami memohon doa orang ramai supaya ada keajaiban.”

Demikian permintaan Hamidah Othman, 51, ibu kepada penunggang motosikal yang parah selepas didakwa dirempuh pemandu mabuk yang memandu secara melawan arus di Persiaran Kota di sini pada 13 Mei lalu.

Menurut ibu empat anak itu, anaknya, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, dilaporkan koma akibat kejadian itu dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Malam tadi, kami sekeluarga dipanggil doktor yang memaklumkan tentang keadaan anak saya yang semakin kritikal berikutan tahap oksigennya turun mendadak.

“Sekarang anak saya bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan. Kami hanya berharap dia cepat sedar dan memohon semua (orang ramai) supaya mendoakannya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sementara itu, tunang mangsa, Nurul Syafiqah Ridzuan, 25, yang bekerja sebagai perunding syarikat swasta memberitahu, dia mengambil cuti sejak kejadian menimpa Zulfiqar.

Zulfiqar yang juga penasihat servis di sebuah syarikat automotif dan Nurul Syafiqah dijadualkan bernikah di Pasir Gudang, Johor pada Disember ini selepas mengikat tali pertunangan tahun lalu.

Pada Isnin lalu, pembantu perancang acara, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisret Klang atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal parah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta dengan kadar alkohol 196 miligram (mg) melebihi had 146mg sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada Zulfiqar pada pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN