fbpx
MENURUT Dr. Muhamad Yusri, negara bakal kekurangan doktor pakar kerana taraf kontrak ribuan doktor yang ada kini tidak memberi ruang untuk mereka menyambung pengajian menjadi tenaga pakar.

Cari jalan elak doktor terlatih berhijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, Kementerian Kesihatan menawarkan lanjutan kontrak selama setahun melibatkan seramai lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan dan telah melakukan housemanship sejak 2016 bagi membolehkan mereka terus berkhidmat dalam membendung wabak Covid-19.

Tawaran itu mula dipersoalkan kumpulan itu yang kecewa kerana tidak ditawarkan jawatan tetap. Kesemua mereka yang melengkapkan latihan selama lima tahun di hospital awam bimbang akan kehilangan kerja setelah tempoh tersebut tamat memandangkan tidak ada laluan kerjaya jelas.

Bagaimanapun Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa berita yang agak baik dengan mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib masing-masing.

Bagi membincangkan lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr. Muhamad Yusri Musa baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Lebih 23,000 pegawai perubatan atau doktor kontrak tidak diserap ke jawatan tetap dalam perkhidmatan perubatan setakat ini. Sejak tahun 2016, hanya 786 doktor sahaja menerima pelantikan tetap. Bagaimana Dr. melihat situasi ini dan kesannya kepada negara untuk jangka masa panjang?

DR. MUHAMAD YUSRI: Lantikan pada 2016 adalah dalam kalangan kumpulan pegawai perubatan yang kebanyakannya bakal menamatkan kontrak pada Disember 2021.
Jika kontrak kumpulan ini disambung semula seperti kaedah sekarang, ia dikhuatiri akan menyebabkan mereka hilang motivasi dan seterusnya mencari peluang untuk ke tempat lain.

Dua impak yang mungkin boleh berlaku melihatkan permasalahan tersebut yang mana bagi jangka pendek, negara bakal kehilangan pegawai perubatan terlatih.
Untuk jangka panjang pula, kita bakal kekurangan doktor pakar memandangkan mereka tidak mempunyai ruang dan peluang untuk menyambung pengajian dan latihan kerana berstatus kontrak.

Kita sepatutnya melakukan usaha untuk menarik lebih ramai pegawai perubatan menjadi tenaga pakar.

Jika pegawai tersebut berstatus kontrak, sudah tentu ia menyukarkan mereka menjalani latihan untuk bergelar pakar.

Jika dilihat dalam jaluran karier perubatan, biasanya selepas lima tahun seseorang pegawai berkhidmat, mereka sepatutnya sudah menjalani latihan untuk bergelar doktor pakar.

Secara tidak langsung, negara akan mengalami kekurangan tenaga pakar. Ia satu perkara serius dan boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.

Di Malaysia, nisbah doktor pakar adalah empat kepada 10,000 orang penduduk dan jumlah tersebut ternyata amat kecil berbanding negara-negara maju dengan kadar 14 orang doktor kepada 10,000 penduduk.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib masing-masing bagi mengatasi kemelut melibatkan doktor kontrak. Adakah ia memberi khabar gembira kepada mereka yang terlibat?

Saya melihat ini sebagai sekadar penambahbaikan kecil daripada satu tahun sebelum ini kepada dua tahun lantikan kontrak.

Walaupun ada penambahan tempoh, namun dikhuatiri tempoh ini masih terlalu pendek (mengambil kira tempoh khidmat wajib dua atau tiga tahun selepas latihan siswazah).

Mungkin ia boleh memberi sedikit ruang dan masa kepada pegawai untuk merancang dan juga kementerian untuk menguruskan pelantikan kontrak ribuan doktor terlibat.

Namun, saya tidak pasti dalam tempoh ini adakah mereka dapat memulakan latihan kepakaran ataupun tidak, apatah lagi dengan tempat untuk melanjutkan pelajaran juga terhad.

Jika tidak berjaya, mereka berdepan risiko ditamatkan kontrak selepas tamat tempoh dua tahun dan negara berkemungkinan kehilangan tenaga kerja dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Persoalannya, bagaimana pula dengan pegawai yang memiliki perancangan selain daripada menjadi pakar. Mereka mungkin berisiko tamat kontrak selepas lanjutan dua tahun.

Selain itu, kabinet turut bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama bagi melengkapkan pengajian kepakaran mereka. Adakah ini memberikan kelebihan kepada doktor kontrak terbabit?

Ini berkait dengan pandangan saya di atas. Tempoh 2+2 tahun selepas latihan siswazah agak singkat dan berisiko untuk doktor-doktor ini dapat memulakan latihan kepakaran.

Sebahagian besar mereka mungkin belum lagi ditempatkan ke bidang atau jabatan yang mereka minati untuk melanjutkan latihan kepakaran, sedangkan antara kriteria diterima masuk latihan pakar adalah memiliki pengalaman dalam bidang berkenaan.

Tambahan pula, tempoh kontrak selama empat tahun semasa latihan kepakaran juga agak singkat kerana tempoh minimum program latihan kepakaran (sarjana perubatan atau setaraf) adalah empat tahun.

Berdasarkan rekod, bukan semua calon pakar dapat menamatkan latihan dalam tempoh empat tahun atas pelbagai sebab.

Jadi, ada kemungkinan pelantikan kontrak akan tamat sebelum mereka menjadi pakar dan proses pelantikan semula mungkin menjadi lebih rumit semasa cuti belajar latihan kepakaran.

Saya berpendapat, lantikan kontrak ini perlu dipanjangkan, jika boleh selama 10 tahun sekali gus.

Ini bagi memberikan masa yang cukup kepada semua pihak untuk membuat perancangan atau kontrak semasa latihan kepakaran.

Lagipun tempoh maksimum latihan kepakaran adalah selama tujuh tahun.


TENAGA doktor muda terlatih yang ada kini mungkin beralih ke luar negara sekiranya mereka berasa seolah-olah tidak dihargai di negara sendiri. – GAMBAR HIASAN

Difahamkan, sehingga kini negara masih kekurangan doktor berbanding peratusan penduduk. Jadi, banyak pihak tertanya-tanya mengapa doktor kontrak yang kebanyakannya masih ini tidak diberikan jawatan tetap bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih efisien?

Soalan itu sewajarnya lebih tepat diajukan kepada pembuat dasar dalam perkhidmatan awam. Dalam mana-mana perkhidmatan awam sekalipun, setiap jawatan yang ditawarkan mempunyai had tertentu yang telah ditetapkan berdasarkan kemampuan negara.

Justeru, jika berhadapan dengan masalah kekurangan jawatan doktor tetap, perjawatan baharu harus diwujudkan untuk untuk membolehkan mereka mengisi jawatan tersebut.

Menjawab persoalan awam, mereka perlu faham untuk melakukan satu-satu lantikan memerlukan penelitian dalam pelbagai aspek kerana jawatan yang ditawarkan itu perlu disusuli dengan peruntukan bukan sahaja dari segi bajet dan emolumen (gaji).

Pelbagai fasiliti lain perlu ditambah seperti hospital, klinik dan sebagainya agar mereka dapat berkhidmat kepada rakyat dengan lebih meluas.

Mungkin ada segelintir daripada doktor kontrak berasa seolah-olah tidak dihargai di negara sendiri dan memilih untuk berkhidmat di luar negara selepas ini. Ini sudah pasti merugikan negara. Bagaimana Dr. memperhalusi keadaan ini secara mendalam?

Saya yakin masih ada ruang dan kaedah untuk menyelesaikan masalah ini.

Jika saya sendiri berada dalam situasi dialami pegawai perubatan kontrak dan tidak tahu bagaimana bayangan masa depan, sudah tentu alternatif lain seperti berkhidmat di luar KKM mahupun ke luar negara akan diambil kira.

Begitupun dalam konteks ini, sebelum memilih untuk berkhidmat di luar negara, sebenarnya ada institusi-institusi lain yang turut menawarkan tempat kepada pegawai perubatan ini seperti di Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan.

Sebagai contoh, buat masa sekarang, jawatan kosong di hospital-hospital di universiti yang baru dibina seperti Hospital Pengajar di Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin telah dan sedang diisi golongan ini.

Begitupun, kapasiti kekosongan jawatan yang ada masih lagi tidak mampu menempatkan kesemua pegawai perubatan kontrak yang ada.

UJAR Dr. Muhamad Yusri, di negara ini, nisbah doktor pakar adalah empat orang untuk 10,000 penduduk berbanding negara maju iaitu 14 doktor bagi 10,000 rakyat.

Kita tahu, sepanjang berperang dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun kebelakangan ini, para doktor dan pegawai perubatan bekerja dalam keadaan stres untuk tempoh panjang dalam sehari hingga berbelas jam lamanya. Adakah ini akan menjejaskan prestasi mereka untuk berkhidmat dengan cemerlang membantu individu-individu yang positif Covid-19?

Usah kata para doktor, apa-apa sahaja tekanan yang dihadapi dalam pekerjaan sudah semestinya akan menjejaskan prestasi kerja individu.

Berbalik kepada soalan tadi, dalam pandemik yang dahsyat sekarang, doktor-doktor muda inilah yang telah banyak berkorban yang mana mereka berada di barisan hadapan dan perlu bekerja menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) penuh selama berjam-jam dari pagi sehingga malam.

Sudahlah lesu upaya, ditambah pula dengan pelbagai tekanan dan terpaksa bekerja melalui panggilan serta menjauhkan diri daripada orang yang mereka sayangi.

Tentunya tawaran kerja dan masa depan yang tidak jelas sedikit sebanyak boleh menjejaskan lagi tumpuan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN