RANTAU PANJANG – Taktik licik sindiket pengedar dadah yang menyembunyikan dadah jenis syabu dan heroin dalam mesin basuh buruk terbongkar semasa Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 melakukan serbuan di sebuah rumah di rumah di Kampung Banggol Petai Bukit, Tuku di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 11 malam itu, polis menemui dadah jenis syabu seberat 86.2 gram dan heroin 12.82 gram selain turut merampas wang tunai berjumlah RM 1,460.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya telah melakukan serbuan di rumah tersebut selepas menerima maklumat mengenai penyimpanan dadah di lokasi tersebut.
Menurutnya, anggota PGA telah bertindak menahan dua orang lelaki yang berada di hadapan rumah itu, namun tidak menemui sebarang dadah bersama mereka.
“Semasa masuk ke dalam rumah itu, anggota PGA turut menahan tiga orang wanita di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.
“Pemeriksaan turut tidak menemui barang salah atau dadah sebelum anggota PGA melihat terdapat satu mesin basuh lama di kawasan belakang rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhari, siasatan lanjut di dalam mesin basuh itu telah membawa kepada penemuan dua jenis dadah itu yang disembunyikan oleh mereka.
Katanya, nilai rampasan kedua-dua jenis dadah itu dianggarkan berjumlah RM9,236.
“Kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 50 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan air kencing terhadap salah seorang suspek yang berusia 27 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE














