PERKAHWINAN antara Siti dan Rahim (bukan nama sebenar) sudah memasuki usia enam tahun. Sebelum berkahwin, mereka berdua melayari alam percintaan selama empat tahun selepas berkenalan atas urusan kerja.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berusia 34 tahun itu dikurniakan dua cahaya mata, masing-masing berusia empat dan dua tahun.
Siti bekerja sebagai seorang pegawai bank, manakala Rahim merupakan pemandu kepada seorang ahli perniagaan terkemuka.
Bahtera perkahwinan mereka berjalan hampir sempurna dengan masing-masing membahagikan tugas antara satu sama lain dalam segala urusan sama ada kewangan mahu pun pengurusan anak-anak.
Apabila sibuk bekerja, kedua-dua anak mereka dihantar ke taska berdekatan rumah di Putrajaya untuk dijaga dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Kebahagiaan rumah tangga mereka bagaimanapun diuji selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac tahun lalu dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Keadaan itu mendorong Siti dan Rahim berkurung dalam rumah sambil menguruskan anak-anak memandangkan taska terpaksa ditutup sepanjang pelaksanaan PKP.
“Disebabkan PKP, kami berdua terpaksa duduk dalam rumah bersama anak-anak untuk tempoh lebih lama. Kami tidak boleh pergi mana-mana kecuali keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan.
“Biasanya, kami hanya menghabiskan masa pada waktu malam dan cuti hujung minggu sahaja. Apabila lebih sebulan berkurung dalam rumah, baru saya tahu sikap sebenar Rahim,” ujarnya.
Dalam tempoh tersebut, Siti melihat sendiri sikap Rahim yang banyak menghabiskan masa menghadap skrin telefon pintar untuk bermain permainan online serta melayari media sosial.
Jelasnya, Rahim boleh menghabiskan masa sehari suntuk menghadap telefon tanpa mempedulikan perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Dia menjelaskan, Rahim tidak ada rasa tanggungjawab untuk membantu menguruskan anak-anak atau mengemas rumah dan membiarkan tugas tersebut dilakukannya seorang diri.
“Sebelum PKP, saya tahu dia (Rahim) ada main permainan online menerusi telefon sebelum tidur. Selalunya, dia main dalam sejam atau dua jam sahaja. Ketika PKP, sepanjang masa dia menghadap telefon.

“Sebagai isteri, saya menegurnya supaya jangan asyik dengan telefon sangat. Sebaliknya gunakan masa untuk bersama anak-anak atau melakukan sesuatu yang berfaedah seperti membersihkan halaman rumah.
“Malangnya, setiap teguran yang diberikan tidak diendahkannya. Dia masih berdegil dan meneruskan sikap malasnya dengan bermain telefon sahaja,” ujarnya.
Tahap kesabaran Siti sampai kepada kemuncaknya apabila Rahim enggan keluar membeli barangan keperluan disebabkan telah berjanji untuk bermain permainan online bersama rakan-rakan.
Keadaan itu membuatkan Siti hilang sabar sehingga membawa kepada pertengkaran antara mereka.
Masing-masing bertegang urat dan tanpa disangka Rahim melafazkan cerai kepada Siti selepas didesak oleh isterinya untuk berbuat demikian.
“Kami berdua bertengkar hampir setengah jam di depan anak-anak. Anak-anak mula menangis melihat keadaan itu.
“Disebabkan itu, saya minta Rahim lepaskan saya supaya dia boleh terus menghadap telefon 24 jam tanpa gangguan.
“Saya tidak sangka desakan itu membawa kepada penceraian antara kami. Saya sangat sedih ketika itu kerana terpaksa berpisah disebabkan sikap Rahim yang lebih mengutamakan telefon daripada rumah tangga,” ujarnya lagi.
Siti memberitahu, dia mengambil keputusan untuk memaklumkan perceraian kepada pihak mahkamah syariah dan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku antara mereka.
Selepas minggu, mereka berdua dipanggil ke mahkamah untuk mengesahkan perceraian di hadapan hakim.
Sebelum cerai dilafazkan, hakim memberi sedikit nasihat kepada mereka.
“Hakim menasihati Rahim supaya jangan terlalu taksub menghadap telefon sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Hakim pula menasihati saya supaya mengelak pertengkaran di hadapan anak-anak kerana ia boleh mengganggu emosi mereka,” ujarnya.














