fbpx
BANGUNAN ASEAN Mall yang berdiri megah di Pattani, Thailand.

Pusat beli-belah berkonsep wakaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA disebut tentang wakaf, kebanyakan masyarakat Islam mempunyai pandangan sempit mengenainya dan sering kali mengaitkan amalan tersebut dengan masjid atau tanah perkuburan sahaja sedangkan ia lebih daripada itu.

Sebenarnya, terdapat juga wakaf berkonsep pelaburan yang mana memberi keuntungan kepada pewakaf di dunia serta akhirat dan pada masa sama membantu ekonomi umat Islam.

Mengambil pendekatan itu, Uniti Asia Business Group membangunkan pusat beli-belah berkonsep wakaf yang dikenali sebagai ASEAN Mall untuk para pewakaf membuat pelaburan bagi memberi manfaat kepada seluruh umat Islam khususnya di Asia Tenggara.

Menerusinya, para pelabur bukan sekadar bertindak sebagai pewakaf atau penderma bahkan mampu mendapat pulangan dividen daripada hasil pelaburan terhadap pusat beli-belah itu.
ASEAN Mall yang dibangunkan di Pattani, Thailand itu kini menjadi tempat sehenti memasarkan produk-produk halal dari negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia, Filipina dan sebagainya selain benua Asia.

KAKITANGAN pusat beli-belah ini sedia menerima kehadiran pengunjung dengan pematuhan prosedur operasi standard.

Salah seorang pelabur yang disebut juga sebagai pemegang saham atau pewakif ASEAN Mall, Dr. Abdul Halim Shibghatullah berkata, dia berasa sangat teruja menyumbang kepada pembangunan pusat beli-belah tersebut apatah lagi kali pertama mengetahui mengenai konsep wakaf pelaburan.

“Ketika sahabat memberitahu mengenai pusat beli-belah berkonsep wakaf ini, saya berasa sangat teruja dan tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi salah seorang pewakif.

“Wakaf pelaburan ini sesuatu yang sangat berbeza daripada kebiasaan dan ia juga membuka jaringan manfaat sangat luas kepada pewakif serta umat Islam sejagat,” katanya yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor.

Tambahnya, wakaf berbentuk komersial itu sangat baik kerana juga dapat membantu komuniti setempat mendapatkan pekerjaan dan menjana pendapatan.

Bercerita lanjut mengenai idea penubuhan pusat beli-belah berkonsep wakaf pelaburan itu, Presiden Uniti Asia Business Group, Datuk Jamal Mohd. Amin berkata, ia bermula apabila seorang sahabat dari Universiti Fatoni,

Thailand memberitahu hasratnya untuk membuka bandar baharu atas tanah wakaf seluas 161.8 hektar di Madinatussalam, Pattani, Thailand.

“Sahabat saya itu ingin membuka bandar berkonsepkan wakaf dan perniagaan yang mana di dalam kawasan tersebut turut dibina institusi pendidikan, hospital, masjid dan pusat beli-belah.

“Sebelum ini, Universiti Fatoni ditubuhkan dengan konsep wakaf sepenuhnya. Melihat kejayaan institusi pendidikan itu membuatkan beliau ingin meluaskan amalan tersebut dalam bentuk pelaburan perniagaan yang lebih luas,” terangnya yang juga merupakan Pengarah ASEAN Mall.

Tambah Jamal, beliau pada awalnya agak terkejut dengan cadangan sahabatnya itu kerana tidak pernah mendengar konsep wakaf sedemikian sehinggalah mendapat pengesahan kesahihannya oleh mufti serta beberapa orang yang ahli dalam bidang tersebut.

Orang ramai tanpa mengira usia membeli-belah di ASEAN Mall.

Beliau yang juga Presiden Kolej Uniti memberitahu, tidak pernah melihat pusat beli-belah berkonsep wakaf seperti itu dan ASEAN Mall boleh disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya.

“Model wakaf pelaburan ini sangat ringkas tetapi pahala berganda dan lebih ramai orang boleh terlibat.

“Dahulu yang saya faham tentang wakaf ialah tidak memberi pulangan secara material kepada pewakaf (atau pewakif) tetapi sebenarnya terdapat konsep wakaf pelaburan yang memberi manfaat lebih luas,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam di Universiti Michigan, Amerika Syarikat itu.

Justeru, beliau bersama sahabatnya itu melaksanakan projek pembangunan pusat beli-belah berkonsep wakaf setinggi dua tingkat itu pada tahun 2016.

Antara objektif penubuhan ASEAN Mall adalah untuk membantu menjana pendapatan orang-orang Pattani dan sebagai pintu masuk produk-produk halal dari Asia Tenggara ke Thailand.

Selain itu, pusat beli-belah tersebut juga bertujuan mengubah persepsi orang ramai mengenai selatan Thailand yang sering dikaitkan dengan isu keamanan sedangkan ia tidaklah seburuk disangka.

Jelasnya, masalah persepsi itu memberi cabaran kepada mereka pada peringkat awal sehingga ramai orang takut membuat pelaburan tetapi apabila melihat potensi besar ASEAN Mall segalanya telah berubah.

Sejak beroperasi pada tahun 2019, ASEAN Mall yang dibina dengan kos sekitar RM40 juta itu mempunyai lebih 100 pewakif atau pemegang saham dari pelbagai negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia selain Kuwait.

JAMAL

Menjelaskan mengenai wakaf pelaburan itu, Jamal berkata, Uniti Asia Business Group akan menguruskan operasi tersebut selama 30 tahun dan hasilnya akan dibahagikan kepada pewakif serta wakaf.

“Sebanyak 15 peratus daripada hasil tersebut akan diwakafkan dan selepas 30 tahun pusat beli-belah itu akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan wakaf hartanah tersebut.

“Pun begitu, pihak Uniti Asia Business Group masih boleh menguruskan operasi pusat belah-belah itu tetapi pulangan kepada wakaf akan dinaikkan kepada 50 peratus,” jelasnya.

Bagi pewakif pula, mereka boleh berniat wakaf dalam masa sekarang atau selepas 30 tahun.
ASEAN Mall yang berkeluasan 100,000 kaki persegi (9,290 meter persegi) itu menjual pelbagai jenis produk terutama makanan dan turut dibina kios-kios serta ruang ekspo untuk mempromosi aneka barangan.

“Pusat beli-belah ini akan menjadi platform terbaik untuk para usahawan mengeksport produk mereka dengan kos lebih rendah dan murah.

“Model wakaf perniagaan seumpama ini semakin mendapat perhatian dan ada beberapa negara seperti Filipina yang mahu pihak kami membinanya di tempat mereka,” tuturnya.

Pembangunan pusat beli-belah tersebut turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta SME Corporation Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat Fatihah Frozen Foods Sdn. Bhd., Fatihah Anis Ibrahim memberitahu, ASEAN Mall merupakan platform terbaik untuk para usahawan mengeksport produk mereka ke luar negara.

“Proses mengeksport produk ke luar negara agak sukar dan memerlukan masa yang panjang tetapi dengan bantuan ASEAN Mall ini ia menjadi lebih mudah.

“Produk Malaysia juga laris terjual kerana masyarakat di Thailand sangat menggemarinya sehingga kami menambah penghantaran kontena bagi menampung keperluan yang semakin meningkat,” katanya yang mengusahakan produk kuih-muih sejuk beku itu sejak tahun 1994.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN