BUTTERWORTH – Mana-mana ahli politik yang bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah dan menyalahgunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak akan terlepas daripada proses undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada sesiapa pun akan dilindungi daripada tindakan tanpa mengira kedudukan politik mereka.
“Jika ahli politik juga terbabit, tiada siapa (akan dibiar terlepas). Percayalah, ini adalah risiko yang saya ambil supaya mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Butterworth, di sini petang tadi.
Anwar mengakui terkejut apabila pesawat tentera dieksploitasi sindiket untuk menyeludup bahan terlarang, sambil menambah rangkaian berkenaan bukan hanya melibatkan TUDM semata-mata.














