KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 44 tahun mendakwa telah ditumbuk di bahagian rusuk kiri oleh seorang individu dalam insiden pertengkaran dengan seorang aktivis di Jalan Pasar Baharu, Pudu di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, dakwaan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis pada pukul 2.52 pagi tadi oleh seorang lelaki berusia 44 tahun.
“Mengikut laporan, semasa kejadian pada pukul 12.30 pagi di hadapan sebuah kedai di Jalan Pasar Baharu, Pudu terdapat seorang aktivis sedang membuat rakaman tanpa kebenaran pengadu.
“Dia juga didakwa mengeluarkan kata-kata kesat malah pengadu telah dihampiri oleh rakan aktivis dan menolak serta menumbuk di rusuk kiri pengadu.
“Berlaku pergaduhan kecil ketika kejadian dan beberapa orang awam datang untuk meleraikan pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, katanya, polis telah mengesan satu pautan video tular yang berdurasi 39 saat yang dikongsikan di media sosial Facebook.
Video berkenaan memaparkan kejadian seorang lelaki telah dipukul semasa sedang bersiaran langsung di Facebook.
“Pihak polis mengesahkan turut menerima laporan polis daripada aktivis terlibat pada hari yang sama.
“Kes telah disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan masih dalam siasatan,” katanya.
Susulan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak melakukan tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang yang sedia ada.
“Orang ramai dinasihatkan supaya bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat agar kita semua dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585,” katanya.
Hari ini, Kosmo! Online melaporkan dua aktivis Surplus didakwa mengalami kecederaan selepas diserang dan dipukul sekumpulan individu dalam kejadian di Pasar Pudu awal pagi tadi.
Kedua-dua aktivis yang dikenali sebagai Abe O Abe dan Abang Eja itu dilaporkan menerima rawatan di hospital susulan kejadian berkenaan.
Berdasarkan siaran langsung yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @rief_syarifuddin malam tadi, kedua-dua aktivis berkenaan didakwa diserang sekumpulan lelaki, selain terdapat cubaan merampas telefon bimbit.
Difahamkan, ketika awal kejadian, aktivis terbabit sedang melakukan siaran langsung di media sosial mengenai lokasi sebuah pusat penyembelihan ayam di sekitar Pasar Pudu sebelum didakwa diserang tujuh individu. – KOSMO! ONLINE














