SUBANG JAYA – Empat buah kilang termasuk kilang memproses perabot dan peralatan perubatan terbakar dalam kejadian di Jalan Subang 4, Ultramine Park, di sini, malam tadi.
Kebakaran itu mengakibatkan dua daripada empat kilang berkenaan mengalami kemusnahan sehingga 95 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 malam.
Katanya, susulan itu seramai 31 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Damansara, Shah Alam dan Cyberjaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan empat buah kilang, bangunan kelas A berkeluasan 2,304 kaki setiap unit. Api dikenal pasti dari kilang memproses perabot dan merebak ke kilang barangan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.56 malam sebelum kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran (overhaul) dilakukan.
Katanya, kilang perabot dan kilang peralatan perubatan masing-masing mengalami kemusnahan sebanyak 95 peratus.
Sementara itu, dua lagi unit kilang yang belum dikenal pasti mengalami kebakaran pada bahagian bumbung dengan kemusnahan masing-masing sebanyak 20 dan 10 peratus.
Setakat pukul 3 pagi tadi, kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran masih dijalankan terutama di kilang perabot dan peralatan perubatan terbabit.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.- KOSMO! ONLINE














